Perarakan terbesar awal bulan ini anjuran China bersempena ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia Kedua menarik perhatian diplomat dunia. Sementara video isteri Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hanya tunduk tanpa berjabat tangan dengan Presiden Xi Jinping turut mencuri tumpuan banyak pemerhati.
Kehadiran perwakilan luar termasuk lebih ramai pemimpin ASEAN kali ini, berbanding 2015, menimbulkan pelbagai spekulasi politik. Apatah lagi perarakan di Beijing itu dibuat tidak sampai tiga bulan dari tarikh perarakan tentera Amerika Syarikat yang jarang diadakan pada 15 Jun.
Persaingan dua kuasa besar ini bukan lagi rahsia khasnya bawah Presiden Donald Trump yang gemar mengambil pendekatan perang dagang, bermula penggal pertamanya, antara 2017 hingga 2021. Tidak ramai yang faham apa makna persaingan dua negara ini bawah Trump dan apa kesannya kepada Malaysia, rantau ini dan juga seluruh dunia.
Namun semua perang geopolitik itu boleh dibaca dengan mudah dan jelas dalam buku Dunia Kini Milik China? (2025) karya bekas diplomat terkenal dan berpengalaman luas Kishore Mahbubani. Buku dalam siri Projek Pencerahan Selangor ini terjemahan Has China Won? (2020) yang dikarang khas untuk memahami Amerika Syarikat bawah Trump.
Walaupun begitu, Mahbubani tidak mengupas pertarungan ekonomi, teknologi dan ketenteraan dua negara ini sahaja. Buku ini mengulas hampir semua persaingan China dan Amerika Syarikat di semua negara penting termasuk rantau ASEAN, Timur Tengah, Eropah dan Afrika. Pendek kata, sebuah buku panduan ringkas dan padat yang menjelaskan semua isu penting yang mesti kita ketahui.

Dalam lapan bab, karya terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) ini menghuraikan kekuatan dan kelemahan dua kuasa besar ini. Di mana kesilapan Amerika Syarikat, di mana pula kelemahan China? Apakah faktor yang sudah berubah hingga menyebabkan Amerika Syarikat makin lemah? Apakah punca yang mendorong China bertambah maju dan kuat?
Semuanya ini disampaikan dengan hujah dan contoh yang kuat lagi meyakinkan. Membacanya pula cukup mudah dan lancar. Setiap halaman memakan masa dua minit sahaja. Jika kita tekun dan memberi tumpuan, buku setebal 267 halaman ini boleh dihabiskan dalam masa hampir sembilan jam sahaja. Penulis sendir mengambil masa dua hingga tiga hari sahaja.
Karya Mahbubani ini cukup relevan dan semasa untuk mengenali strategi Trump, misalnya menaikkan tarif yang disifatkan bertentangan dengan dunia persaingan terbuka. Kita seolah-olah ditunjukkan peta cara berfikir dan taktiknya yang boleh merosakkan kekuatan Amerika Syarikat dalam keghairahannya mengenakan China.
Mahbubani berjaya menjelaskan asas-asas konflik makin serius antara dua negara ini, khasnya sejak 2008 atau 2009, dan kesilapan percaturan dua negara tersebut yang boleh menjejaskan perdagangan dunia.
China ada silapnya juga, tergoda untuk bertindak sombong setelah puluhan tahun berusaha dengan tenang untuk menang. Untuk latar sejarah lebih lengkap, jika ada masa, baca juga buku Strategi Rahsia China: Gerak 100 Tahun Atasi Amerika Syarikat (2022), karya ahli strategi dasar luar Michael Pillsbury, juga terbitan IBDE.
Tetapi yang lebih menarik, kata Mahbubani, semua gerakan Trump dan pasukannya tidak akan melemahkan China. Sebaliknya Amerika yang pasti terus merosot dan hilang kekuatan. Jadi, bukan sahaja soal perang dagang yang dihurai tetapi Dunia Kini Milik China? juga menjelaskan asas kebangkitan dan kemerosotan kuasa-kuasa besar.
Buku ini menjelaskan kesilapan berfikir dan kelemahan negara untuk berubah dengan pantas bagi menghadapi persaingan baharu di pentas dunia, khasnya kebangkitan Barat sejak 200 tahun terakhir. Persoalan dan arah berfikir yang seharusnya dibahas di Amerika Syarikat, tetapi tidak dibuat, boleh kita jadikan panduan bagaimana menggerakkan Malaysia hari ini untuk masa depan.
Buku ini bukan hanya mendedahkan konflik semasa dua kuasa besar ini tetapi turut mengajar kita bagaimana menyusun negara untuk bangkit agar terus maju atau, jika tersilap langkah, merosot. Selain karya Mahbubani dan Pillsbury, IBDE juga menerbitkan Tata Dunia: Punca Perang & Damai Sepanjang Sejarah (2018) karya Henry Kissinger.
Karya Pillsbury itu memang mencerahkan. Ia membuka mata melihat bagaimana liciknya China membina kekuatan ekonomi sejak 1970-an. Beliau bergelumang lama dengan dunia teknologi, ekonomi, akademia, ketenteraan dan diplomasi China. Malah beliau antara pegawai awal Amerika Syarikat yang membuka laluan kerjasama di belakang tabir dengan China.
Kissinger pula tokoh strategi Amerika Syarikat yang dikagumi ramai. Melalui karya ini, bekas setiausaha negara itu mengupas empat sistem tata dunia yang pernah terbentuk dalam sejarah. Yakni, sistem-sistem berdasarkan Perjanjian Damai Westphalia abad ke-17, empayar China, empayar Islam dan penyebaran demokrasi.
Buku Tata Dunia juga membahaskan masa depan hubungan China-Amerika Syarikat, evolusi Kesatuan Eropah, konflik Timur Tengah dan dampaknya kepada dunia, tindak balas Barat terhadap Arab Spring serta peranan senjata nuklear dalam soal keamanan dunia.
Semua tiga buku hebat ini, khasnya dua karya pertama mengenai China, seharusnya menjadi bacaan wajib aktivis politik, birokrat, peminat politik dan malah guru agar kita semua tahu sikap terbaik berdepan dengan China.