ad

Wanita rugi lebih RM300,000 ditipu 'pegawai polis'

27 Sep 2025, 2:30 AM
Wanita rugi lebih RM300,000 ditipu 'pegawai polis'

BATU PAHAT, 27 SEPT: Wanita tempatan kerugian RM301,000 selepas menjadi mangsa penipuan ‘phone scam’ oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa berusia 59 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki pada 14 Mei lalu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Beliau berkata, suspek mendakwa mangsa terbabit dalam kes penggubahan wang haram dan akan ditangkap, sebelum meminta mangsa menyerahkan maklumat akaun bank miliknya.

“Mangsa turut diminta membuat pindahan wang ke akaun bank yang diberikan kononnya untuk tujuan siasatan Bank Negara, dan antara 20 Mei hingga 25 September, mangsa memasukkan wang secara berperingkat ke dalam 17 akaun berbeza.

“Selepas memasukkan sejumlah RM301,000, mangsa diminta membuat bayaran tambahan namun enggan berbuat demikian selepas menyedari dirinya ditipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati apabila menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali serta membuat semakan terlebih dahulu sekiranya meragukan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.