ad

Sultan Selangor diberi taklimat pembangunan Kampung Bharu, titah pelihara kepentingan Melayu

26 Sep 2025, 2:45 PM
Sultan Selangor diberi taklimat pembangunan Kampung Bharu, titah pelihara kepentingan Melayu
Sultan Selangor diberi taklimat pembangunan Kampung Bharu, titah pelihara kepentingan Melayu

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Dalam perkongsian di media sosial beliau, Dr Zaliha berkata majlis menghadap berkenaan turut dihadiri Khazanah Nasional Bhd untuk membentangkan pelan pelaksanaan Warisan KL, khususnya melibatkan Bangunan Sultan Abdul Samad yang amat dekat dengan hati baginda.

Sementara itu, beliau berkata pada sesi berasingan, Sultan Sharafuddin turut berkenan menerima sembah taklimat mengenai isu semasa di Kampung Sungai Baru dan perancangan jangka panjang pembangunan di Kampong Bharu.

“Tuanku telah memberi titah pedoman bahawa baginda bersetuju dan tidak menghalang pembangunan di keseluruhan Kampong Bharu dengan memastikan kepentingan orang Melayu terpelihara,” katanya.

Pada 18 Sept, Sultan Sharafuddin menitahkan agar isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.

Baginda bertitah tiada halangan sekiranya kawasan Kampong Bharu, juga dikenali sebagai Kampung Baru hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman namun, syarat-syaratnya harus jelas serta berpihak kepada orang Melayu.

Susulan titah berkenaan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik dengan menyifatkan titah baginda selari dengan pendirian Kerajaan MADANI, yang teguh menekankan keperluan menghargai warisan sejarah serta merangka pembangunan yang adil dan seimbang.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.