BEIJING, 26 SEPT: Delegasi rasmi Kerajaan Negeri Selangor berkunjung ke Tsinghua University, Beijing hari ini bagi meneroka peluang kerjasama akademik dalam bidang tenaga nuklear dan kejuruteraan, termasuk penempatan pelajar negeri ini di program bertaraf antarabangsa.
Delegasi yang diketuai Dato’ Johary Anuar, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), turut disertai wakil agensi negeri seperti Worldwide, Yayasan MBI, Selangor Technology and Innovation Strategic Development Centre (STDC), serta pegawai khas Menteri Besar.
Dalam sesi taklimat oleh Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan Fizik, Li Liang, universiti berkenaan memperkenalkan International Master’s Program in Nuclear Engineering and Management (TUNEM) 2025, iaitu program sarjana profesional selama dua tahun yang diajar sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris.
Program tersebut ditawarkan dengan biasiswa penuh, meliputi yuran pengajian, penginapan, sara hidup dan insurans, selain menyediakan latihan industri enam hingga 12 bulan bersama syarikat tenaga nuklear utama di China.
Turut hadir memberi perkongsian ialah pelajar antarabangsa dari Selangor, Akmal Syahmi Haslan, 25, yang kini mengikuti pengajian Sarjana Kejuruteraan Nuklear dan Pengurusan (Tenaga).
Dato’ Johary berkata lawatan itu membuka ruang kerjasama dua hala antara Selangor dan Tsinghua University, khususnya dalam bidang penyelidikan (R&D), latihan industri serta pembangunan bakat muda dalam sektor tenaga.
“Kerajaan Negeri Selangor menyokong penuh usaha menghantar pelajar cemerlang ke program bertaraf dunia seperti TUNEM. Ini sejajar dengan agenda negeri melahirkan bakat berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi baharu dan tenaga hijau,” katanya.
Beliau menambah, cadangan perbincangan susulan akan dilakukan bersama agensi pendidikan dan tenaga di Selangor bagi menilai penyertaan pelajar melalui program tersebut.
Kerajaan Negeri turut mempertimbangkan pemberian insentif tambahan kepada pelajar Selangor yang berjaya menempatkan diri dalam program itu, sebagai galakan agar lebih ramai anak negeri menceburi bidang strategik berimpak tinggi.
Lawatan delegasi turut disertai sesi pertukaran pandangan, perbincangan bersama pengurusan universiti serta lawatan ke beberapa makmal penyelidikan seperti Radiation Imaging, Virtual Simulation, Radiation Detection dan TianGe Project.
Langkah ini diyakini akan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai pusat pembangunan teknologi dan pendidikan tinggi di rantau ini, sekali gus menyokong aspirasi negeri melahirkan generasi muda berdaya saing di pentas global.