KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk mempertimbangkan tarif berkadar sifar ke atas beberapa produk komoditi yang tidak dihasilkan di negara itu termasuk minyak sawit dan koko, yang dijangka dimuktamadkan pada Oktober ini.
Ketua Perunding Malaysia bagi rundingan rasmi tarif, Mastura Ahmad Mustafa berkata selain komoditi, Malaysia turut mengemukakan permohonan untuk tarif berkadar sifar ke atas perabot, bahagian dan komponen automotif serta bahagian dan komponen aeroangkasa.
Mastura, yang juga Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata perkara itu dimaklumkan oleh pihak AS menerusi rundingan sebelum ini.
“Seperti yang dimaklumkan, kita sekarang dalam proses memperincikan perjanjian (Perdagangan Timbal Balas), jadi bermula semalam kita telah mengaturkan beberapa sesi secara maya dengan AS untuk menyelesaikan perjanjian tersebut.
“Dalam rundingan ini, pihak AS ada menyatakan pertimbangan boleh diberikan kepada beberapa barangan yang pada pandangan mereka adalah produk yang memang tidak boleh dikeluarkan di AS. Bagi produk tersebut mereka akan mempertimbangkan sifar tarif daripada unilateral tarif ini,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual eksklusif di sini, hari ini.
Beliau berkata bagaimanapun perjanjian itu, yang dijangka dimuktamadkan bulan depan, tidak meliputi sektor semikonduktor dan farmaseutikal kerana kedua-duanya tertakluk di bawah undang-undang AS iaitu Seksyen 232 Akta Perluasan Perdagangan 1962.
Seksyen 232 Akta Perluasan Perdagangan 1962 itu membenarkan AS mengenakan tarif tambahan atas alasan keselamatan negara.
Pada Khamis, Presiden Donald Trump melalui akaun di Truth Social mengumumkan AS akan mengenakan tarif pada kadar 100 peratus ke atas mana-mana produk farmaseutikal berjenama atau yang dipatenkan, melainkan syarikat berkenaan membina kemudahan pembuatan farmaseutikalnya di AS.
Selain itu, Washington juga akan mengenakan tarif berkadar 50 peratus ke atas semua kabinet dapur, kelengkapan bilik mandi dan produk berkaitan, serta tambahan, mengenakan tarif sebanyak 30 peratus ke atas perabot upholsteri.
AS juga menyatakan pihaknya akan mengenakan tarif pada 25 peratus ke atas semua ‘trak berat atau besar’ yang dibuat di negara lain.
Semua tarif itu akan berkuat kuasa pada 1 Okt, 2025, katanya.
Mastura berkata berdasarkan keadaan atau syarat yang dikenakan oleh Trump, pihaknya mendapati syarikat yang didapati melabur di AS akan dikecualikan daripada duti mengikut Seksyen 232.
“Bagaimanapun, pada masa yang sama kita juga cuba berunding sama ada Malaysia boleh dipertimbangkan untuk sebarang pengecualian daripada tarif-tarif tersebut,” katanya.
Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia menyasar untuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik antara Malaysia dan AS sebelum lawatan Presiden Donald Trump pada Oktober sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
- BERNAMA