ad

Aira Imani, atlet cilik Selangor juara memanah dunia

26 Sep 2025, 1:00 PM
Aira Imani, atlet cilik Selangor juara memanah dunia
Aira Imani, atlet cilik Selangor juara memanah dunia
Aira Imani, atlet cilik Selangor juara memanah dunia
Aira Imani, atlet cilik Selangor juara memanah dunia

Ketika rakan sebaya seronok bermain bola jaring, badminton atau permainan video, Aira Imani Muhammad Zulfadhli, 11, memilih jalan yang jauh berbeza.

Seawal usia tujuh tahun, anak sulung daripada tiga beradik ini jatuh cinta pada sukan memanah tradisional. Minat itu kemudian mengangkat namanya ke pentas dunia.

Pada Mei lalu, Aira Imani mencipta kejutan apabila dinobat juara kategori junior perempuan dalam Kejohanan Memanah Warisan Dunia 2025 di Hungary.

Lebih 500 pemanah dari 36 negara bertanding, namun tubuh kecil dengan wajah tenangnya membuktikan usia bukan alasan untuk gentar.

Pemanah tradisional cilik Aira Imani Muhammad Zulfadhli, 11, ketika ditemu bual di Dayakboi Playground, Kampung Lombong, Shah Alam pada 4 September 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Saya pilih sukan tradisional ini kerana ia sukan sunnah Nabi SAW dan tidak terlalu lasak seperti sukan lain.

“Saya tidak sangka nama saya diumumkan sebagai juara kerana saingan amat sengit,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Pengorbanan keluarga

Perjalanan ke Eropah tidak mudah. Kos yang tinggi menuntut pengorbanan seluruh keluarga. Mereka mengumpul wang sendiri sebelum sedikit sumbangan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membantu meringankan beban.

Ibunya, Nuridah Jasnih, 36, mengakui setiap sen yang dibelanjakan berbaloi apabila melihat perubahan besar dalam diri anaknya.

Sejak memegang busur, Aira Imani menjadi lebih fokus dalam pembelajaran, berdikari dan matang.

Nuridah Jasnih, 36,

“Sukan ini lebih statik, sesuai untuk Aira. Dua adiknya pun kini mula ikut jejak. Apa salahnya kita angkat sukan sunnah,” ujarnya penuh bangga.

Walaupun anaknya memasang impian beralih ke memanah berkuda, Nuridah dan suami tidak pernah menghalang. Pesanan mereka hanya satu - jangan sesekali melupakan akar tradisional yang menjadi permulaan.

“Apa yang dia mulakan ini penuh keberkatan. Walau ke mana pun dia pergi, asasnya jangan hilang,” katanya.

Semangat luar biasa

Kisah kemenangan kanak-kanak dari Puchong, Selangor ini di Hungary bukan sekadar tentang piala. Cuaca sejuk, budaya asing dan laluan pertandingan yang mencabar menguji dirinya, namun Aira Imani tetap tenang.

Disiplin dan fokus yang dimiliki membuatnya kelihatan matang, walaupun pertama kali menjejak kaki di bumi Eropah.

“Memanah membuat saya lebih tenang dan berstrategi, sama seperti bila saya belajar Matematik atau melukis,” katanya yang menggemari kedua-dua subjek tersebut.

Di sebalik kejayaan ini berdiri jurulatih muda berpengalaman, Mika Irfan Nojey Aman Amalo Nojey, 27, bekas juara dunia memanah tradisional.

Mika Irfan Nojey Aman Amalo Nojey

Beliau melatih Aira di pusat latihannya, Dayakboi Playground sejak 2022.

“Disiplinnya luar biasa. Kadang-kadang saya sendiri belajar daripada dia,” ujarnya.

Baginya, kemenangan Aira bukan semata-mata soal angka atau piala.

“Dia menempuh cuaca sejuk, berjalan jauh ke lokasi pertandingan, tetapi tetap bersemangat. Itu jiwa juara sebenar, katanya.

Mika turut menjelaskan perbezaan memanah tradisional dengan versi moden. Memanah moden lebih bergantung pada ketepatan dan peralatan canggih manakala tradisional pula menuntut naluri dan kepekaan seperti memanah berkuda.

“Memanah tradisional sebenarnya seni menyesuaikan diri, bukan sekadar teknik,” katanya.

Pemanah tradisional cilik Aira Imani Muhammad Zulfadhli, 11, bersama jurulatihnya ketika ditemubual di Dayakboi Playgorund, Kampung Lombong, Shah Alam pada 4 September 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Kini, minat Aira Imani berkembang ke arena memanah berkuda. Baginya, itu cabaran baharu yang mengekalkan semangat warisan.

“Ramai anggap memanah tradisional lapuk, tetapi bagi saya ia lebih mencabar dan indah,” ujarnya.

Keluarga sentiasa menjadi pendorong utama. Busana tradisional disarung Aira setiap kali pertandingan, tajaan Kolej Komuniti Pasir Gudang, seolah-olah simbol penghargaan kepada akar budaya.

Dikecam tetapi tetap tenang

Pernah dikecam kerana pilihan sukan yang dianggap “ketinggalan zaman”, namun Nuridah menganggap itu sekadar ujian.

“Yang penting, anak saya gembira dan tidak mengabaikan pelajaran,” katanya.

Di mata keluarga dan jurulatih, Aira bukan sekadar atlet cilik, tetapi lambang tekad, disiplin dan doa yang tidak putus.

Pemanah tradisional cilik Aira Imani Muhammad Zulfadhli, 11, mempamerkan ketangkasan memanah di Dayakboi Playgorund, Kampung Lombong, Shah Alam pada 4 September 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Meskipun bertubuh genit, busur yang digenggamnya kini melantarkan panah ke seantero dunia, mengharumkan nama Malaysia.

Setiap tarikan tali bukan hanya menguji kekuatan tangan, tetapi mengikat keyakinan hati bahawa sukan sunnah ini mendidik jiwa dan mampu menawan dunia.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.