ad

Sindiket tawar khidmat GRO melalui WhatsApp tumpas, 30 wanita warga asing ditahan

26 Sep 2025, 4:40 AM
Sindiket tawar khidmat GRO melalui WhatsApp tumpas, 30 wanita warga asing ditahan

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Satu sindiket menawarkan khidmat wanita asing sebagai pelayan pelanggan (GRO) melalui aplikasi WhatsApp tumpas susulan serbuan Jabatan Imigresen (JIM) Selangor terhadap sebuah premis di Sungai Way, Petaling Jaya, malam tadi.

JIM Selangor memaklumkan sebanyak 30 wanita warga asing ditahan di premis berkenaan dalam operasi bermula kira-kira 10 malam.

“Kesemua wanita itu berusia antara 18 hingga 40 tahun terdiri daripada warga Laos, Myanmar, Vietnam dan Thailand.

“Mereka dipercayai masuk ke negara ini sebagai pelancong menggunakan pas lawatan sosial, namun menyalahgunakan pas berkenaan,” menurut JIM Selangor dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, siasatan awal mendapati pelanggan boleh membuat tempahan GRO melalui aplikasi WhatsApp sebelum wanita terbabit dibawa ke tempat yang dijanjikan kepada pelanggan.

Ketika serbuan, ada antara wanita berkenaan cuba memperdaya pegawai penguat kuasa dengan mengaku sebagai rakyat tempatan namun helah itu tidak berjaya.

“Sebahagian wanita cuba melarikan diri dan menyorok, tetapi berjaya ditahan. Tiada kejadian tidak diingini berlaku kecuali terdapat sedikit provokasi orang awam yang disyaki pelanggan tetap di lokasi tersebut,” menurut JIM Selangor.

Kenyataan itu menyebut operasi melibatkan 19 anggota dan pegawai diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Mohamed Firdaus Mohamed Abbu Bakar dan turut disertai Ketua Bahagian Penguat Kuasa JIM Selangor Penolong Pengarah Imigresen Mohd Rozy Hassan.

“Sindiket itu dipercayai mempunyai ejen yang membawa mereka masuk dari negara asal dan menyediakan penginapan untuk wanita terbabit di kondominium berhampiran,” katanya.

Kesemua wanita itu ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan telah dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk direman dan siasatan lanjut,” menurutnya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.