SHAH ALAM, 26 SEPT: Selangor terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelaburan utama rantau ini apabila berpeluang menjalin kerjasama dengan Wise Road Capital, firma ekuiti swasta global berpangkalan di China yang menguruskan aset bernilai lebih USD11 bilion.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pertemuan dengan syarikat itu semalam memberi tumpuan kepada sektor teknologi tinggi termasuk semikonduktor, automotif pintar, robotik, Internet of Things (IoT) serta kelestarian.
“Perbincangan kami menyentuh potensi kerjasama dan peluang pelaburan di Selangor, khususnya dalam memperkukuh ekosistem teknologi tinggi dan rantaian bekalan semikonduktor.
"Selangor, dengan kekuatan sebagai Gateway To ASEAN, bersedia menjadi pilihan utama pelaburan antarabangsa,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau optimis kepakaran serta pengalaman global dimiliki Wise Road Capital mampu melonjakkan kedudukan Selangor sebagai pemain industri berteknologi tinggi utama di rantau ini.
Pertemuan itu berlangsung selepas sesi makan malam bersama diaspora Malaysia di Beijing, sebahagian daripada misi perdagangan dan pelaburan rasmi kerajaan negeri ke China dari 23 hingga 30 September.
Misi berkenaan turut disertai EXCO Pelaburan Ng Sze Han, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop, Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping.