ad

Selangor tekad terajui era baharu ASEAN, perkukuh integrasi serantau dan global

26 Sep 2025, 3:30 AM
Selangor tekad terajui era baharu ASEAN, perkukuh integrasi serantau dan global
Selangor tekad terajui era baharu ASEAN, perkukuh integrasi serantau dan global
Selangor tekad terajui era baharu ASEAN, perkukuh integrasi serantau dan global
Selangor tekad terajui era baharu ASEAN, perkukuh integrasi serantau dan global

SHAH ALAM, 26 SEPT: Selangor bertekad memainkan peranan utama dalam era baharu ASEAN dengan memperkukuh integrasi serantau serta keterlibatan global.

Dato’ Menteri Besar berkata negeri itu kini menjadi nadi ekonomi Malaysia apabila menyumbang 26.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga optimis Selangor mampu muncul sebagai negeri pertama mencapai nilai ekonomi RM500 bilion dalam tempoh tiga tahun.

“Dalam tempoh kurang tiga tahun, saya yakin Selangor akan menjadi negeri pertama di Malaysia dengan nilai ekonomi mencecah RM500 bilion, selepas merekodkan jumlah aktiviti ekonomi sebanyak RM432.1 bilion pada 2024.

"Kekuatan sebenar Selangor bukan pada sumber asli, tetapi pada rakyatnya. Setiap rakyat Selangor adalah aset paling bernilai,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Universiti Peking, Beijing semalam.

Beliau menambah, Selangor mencerminkan wajah ASEAN dengan masyarakat berbilang etnik dan agama yang hidup harmoni, menjadikan keamanan sebagai prasyarat utama pembangunan.

Amirudin turut menekankan kepentingan integrasi global dalam menghadapi cabaran semasa termasuk perubahan iklim, keselamatan makanan dan keperluan tenaga bersih.

Katanya, kerajaan perlu melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) merangkumi teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan hasil pertanian dan penggunaan tenaga mampan.

“Pengeluaran tenaga adalah asas. Kita perlu mencari kaedah lebih cekap, tidak bergantung semata-mata kepada sumber dari perut bumi, sebaliknya kepada tenaga yang mampan, mampu milik dan bersih,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memuji kemajuan pesat China dalam teknologi hijau dan kenderaan elektrik yang disifatkan sebagai contoh kejayaan membina industri baharu tanpa menyaingi kuasa lama.

“China akan memainkan peranan besar membentuk masa depan, dan di Selangor serta Asia Tenggara, anda mempunyai sekutu yang boleh dipercayai,” katanya.

Lawatan rasmi kerajaan negeri yang memasuki hari kelima itu merupakan sebahagian misi perdagangan dan pelaburan ke China dari 23 hingga 30 September.

Delegasi Selangor turut disertai EXCO Pelaburan Ng Sze Han, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop, Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris serta Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.