BANGI, 25 SEPT: Tiada mana-mana lokasi di Malaysia yang dijadikan pangkalan bagi melatih Hamas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya cawangan khas sentiasa melaksanakan pemantauan di semua peringkat dalam aspek keselamatan negara.
“Memang tidak ada, tidak ada pangkalan melatih apatah lagi dijadikan sebagai pangkalan untuk Hamas ini, kita ketahui bahawa ini adalah tuduhan yang telah dinafikan oleh Ketua Polis Negara.
“Kita memang mempunyai unit pemantauan pengganas di bawah PDRM khususnya di cawangan khas yang dikenali sebagai E9.
“PDRM waktu saya menjadi Menteri Dalam Negeri pun memang kita melakukan pemantauan dan mustahil untuk Malaysia dijadikan sebagai pangkalan Hamas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Malaysia France Institute (MFI) di sini hari ini.
Semalam, PDRM menafikan dakwaan bekas penganalisis kewangan keganasan di Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Jonathan Schanzer bahawa Malaysia menjadi pusat operasi Hamas.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata perjuangan rakyat Palestin merupakan isu yang sangat dekat dengan hati masyarakat Islam di negara ini, namun Malaysia masih mempunyai hubungan baik dengan AS serta negara lain.
Schanzer menerusi akaun media sosialnya menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berminat dengan perdamaian antara Palestin dan Israel.
-- BERNAMA