ad

250 peserta sertai Konvensyen Strata Ampang Jaya 2025, fokus isu pengurusan dan penyelenggaraan

25 Sep 2025, 9:07 AM
250 peserta sertai Konvensyen Strata Ampang Jaya 2025, fokus isu pengurusan dan penyelenggaraan

AMPANG JAYA, 25 SEPT: Seramai 250 peserta menyertai Konvensyen Strata Ampang Jaya 2025 anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati di sini, hari ini.

Timbalan Yang Dipertuanya Ts. Hasrolnizam Shaari berkata konvensyen yang menghimpunkan peserta dalam kalangan ahli pengurusan bersama (JMB), Perbadanan Pengurusan (MC), wakil pemaju, agen hartanah dan pihak berkuasa tempatan lain menyediakan ruang untuk berkongsi pandangan berkaitan cabaran dan isu berhubung pengurusan strata.

“Antara cabaran strata di kawasan Ampang Jaya adalah tunggakan caj penyelenggaraan yang membebankan operasi pengurusan, isu penyelenggaraan fasiliti seperti lif, pam air, bumbung serta konflik pentadbiran antara pengurusan JMB dengan MC serta kurangnya kesedaran penghuni tentang hak dan tanggungjwab masing-masing.

“Jadi, konvensyen yang dianjurkan ini menyediakan platform seperti ceramah, forum dan pameran informasi berkaitan strata untuk semua peserta berbincang dan bertukar pandangan mengenai cabaran-cabaran sebegini,” katanya.

Ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian konvensyen, Hasrolnizam memberitahu 60 peratus penduduk Ampang Jaya tinggal di kediaman strata merangkumi 110,165 petak seiring perkembangan pesat urbanisasi di kawasan pentadbirannya.

“Ampang Jaya adalah kawasan yang berdekatan dengan pusat bandar Kuala Lumpur, mendapat permintaan hartanah yang tinggi tetapi keluasan kawasannya terhad menyebabkan pembangunan tertumpu di kawasan strata.

“Lebih 110,000 unit kediaman di bawah skim strata Ampang Jaya dari pelbagai kategori seperti rumah pangsapuri kos rendah, kondominium, servis apartmen atau pembangunan bercampur,” katanya lagi.

MPAJ secara berterusan akan memberi pendedahan dan latihan secara berterusan kepada ahli JMB dan MC untuk mendedahkan hal perundangan seperti Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) untuk pengurusan strata secara professional.

“Kerajaan Negeri melaksanakan pengurusan strata secara spesifik dengan menubuhkan Pesuruhjaya Bangunan (COB) iaitu pegawai penguat kuasa yang dilantik untuk melaksana undang-undang dan Akta 757.

“Semua urusan berkaitan strata akan dipantau dan dibantu oleh bahagian COB dalam memberi panduan dan nasihat termasuk urusan-urusan lanjut seperti mengambil tindakan dan penguatkuasaan terhadap isu berbangkit di kawasan kediaman strata,” jelasnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.