KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Seorang pegawai kanan polis hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan gagal mematuhi notis pengisytiharan harta termasuk wang emas digital seberat 716.8 gram dan wang kripto berjumlah RM80,000 pada tahun lepas.
DSP Mohd Shahril Abu Bakar, 41, berdepan dua pertuduhan mengabaikan notis bertulis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dihantar kepadanya oleh seorang pegawai SPRM berpangkat pesuruhjaya pada 30 Mac 2024.
Tertuduh telah memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah dan dia gagal mengenal pasti harta yang diperoleh atau menyatakan bagaimana ia diperoleh.
Harta yang gagal dikenal pasti membabitkan wang yang dimasukkan ke dalam dua akaun bank milik Tahara Services dan tertuduh mempunyai kepentingan ke atas syarikat itu.
Harta yang gagal dinyatakan bagaimana diperoleh ialah wang emas digital yang disimpan di platform Public Gold serta wang kripto yang dilaburkan melalui platform Luno sebanyak RM80,000, dan wang yang dilaburkan dalam akaun Amanah Saham Bumiputera berjumlah RM39,198.48 milik tertuduh.
Selain itu, wang yang dilaburkan dalam akaun Amanah Saham Bumiputera milik anak-anak tertuduh berjumlah RM110,000 dan wang yang dibayar kepada Affin Islamic Bank Berhad bagi pinjaman perumahan sebuah rumah beralamat di Johor Bahru sebanyak RM68,000.
Mohd Shahril didakwa melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 28 Jun 2024 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM100,000, jika sabit kesalahan.
Hakim Rosli Ahmad membenarkan Mohd Shahril diikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 29 Okt ini sebagai sebutan semula kes itu.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.
-- BERNAMA