SHAH ALAM, 25 SEPT: Pelaksanaan program Budi Madani RON95 (BUDI95) dijangka mencetus ‘shockwave’ atau gelombang kesedaran baharu mengenai kepentingan memiliki lesen memandu sah serta mematuhi undang-undang jalan raya.
Aktivis keselamatan jalan raya Shahrim Tamrin berkata skim subsidi bersasar itu memberi kelebihan kepada pemilik kenderaan berlesen aktif, namun bakal menjejaskan mereka yang selama ini mengambil mudah kewajipan memperbaharui lesen atau menunggang tanpa kelayakan sah.
"BUDI95 secara tidak langsung memaksa golongan degil kembali menduduki ujian lesen, memperbaharui lesen tamat tempoh lebih tiga tahun, serta memastikan cukai jalan dan insurans kenderaan sentiasa aktif.
"Ia satu kejutan besar yang mampu mengubah sikap masyarakat dalam kitaran keselamatan jalan raya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, antara golongan yang bakal berdepan dilema termasuk pemilik kenderaan tanpa lesen, individu yang tidak memperbaharui lesen tamat tempoh, serta mereka yang langsung tidak pernah menduduki ujian memandu.
“Situasi ini berisiko kerana sejak sekian lama, ramai ibu bapa di bandar kecil dan luar bandar membenarkan anak-anak bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen.
"Akibatnya, berdasarkan data nahas jalan raya Polis Diraja Malaysia (PDRM), ribuan kanak-kanak dan remaja bawah umur maut menunggang motosikal sejak bertahun-tahun," tegasnya.
Shahrim menambah, data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut menunjukkan lebih 2.3 juta pemegang lesen tidak aktif kerana gagal memperbaharuinya, manakala kadar pembaharuan cukai jalan jauh lebih rendah berbanding jumlah pembelian kenderaan sejak tujuh tahun lalu.
"Jika mekanisme BUDI95 berjalan lancar seiring dengan pangkalan data JPJ yang mantap untuk 24 bulan seterusnya, kesannya akan berangkai. Golongan degil, termasuk T15, akhirnya terpaksa memastikan lesen memandu dan cukai jalan mereka aktif," jelasnya.
Beliau berkata, BUDI95 bukan sahaja menggalakkan kepatuhan undang-undang, malah berpotensi menjadi langkah awal ke arah penggubalan undang-undang baharu yang mewajibkan individu mempunyai lesen sah sebelum dibenarkan membeli kenderaan.
Dalam pada itu, bermula jam 9 pagi tadi, rakyat Malaysia boleh membuat semakan kelayakan subsidi petrol RON95 melalui portal rasmi www.budimadani.gov.my yang turut memaparkan profil kelayakan serta baki penggunaan subsidi bulanan.
Kerajaan menjangkakan penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun hasil pemansuhan subsidi pukal, yang akan disalurkan semula kepada bantuan bersasar termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan BUDI95 di 1300-88-9595 bermula jam 9 pagi.