ad

MB di China: Lawatan ke CCCC bincang Rel Kita Selangor antara fokus hari kelima

25 Sep 2025, 1:01 AM
MB di China: Lawatan ke CCCC bincang Rel Kita Selangor antara fokus hari kelima
MB di China: Lawatan ke CCCC bincang Rel Kita Selangor antara fokus hari kelima
MB di China: Lawatan ke CCCC bincang Rel Kita Selangor antara fokus hari kelima
MB di China: Lawatan ke CCCC bincang Rel Kita Selangor antara fokus hari kelima

SHAH ALAM, 25 SEPT: Delegasi Kerajaan Selangor yang diketuai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meneruskan misi perdagangan dan pelaburan rasmi di China dengan rangkaian lawatan ke beberapa lokasi strategik di Beijing hari ini.

Lawatan hari kelima dimulakan dengan pertemuan bersama China Communications Construction Company Limited (CCCC), syarikat peneraju global dalam pembangunan infrastruktur yang menduduki tempat ke-61 dalam senarai Fortune Global 500 tahun 2021.

CCCC, yang juga kontraktor utama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), merupakan pembina terbesar dunia dalam bidang pelabuhan, lebuh raya, jambatan, projek pengerukan, kren kontena serta pelantar minyak luar pesisir.

Pertemuan itu memberi tumpuan kepada potensi kerjasama pembangunan Jajaran Rel Kita Selangor, sebagai sebahagian daripada agenda mobiliti hijau dan rangkaian pengangkutan moden negeri.

Setakat ini, projek berkenaan sudah memasuki fasa meneroka strategi pembiayaan dan mencari rakan pelaburan bagi memastikan pelaksanaan berjalan secara mampan serta memberi manfaat maksimum kepada rakyat.

Selepas itu, Amirudin dan delegasi dijadual menghadiri sesi libat urus bersama pelajar Malaysia di Universiti Peking, yang menjadi wadah pertukaran pandangan mengenai kepimpinan belia, peluang akademik serta peranan golongan muda sebagai duta kecil negara di peringkat antarabangsa.

Lawatan kerja hari ini diakhiri dengan Majlis Makan Malam Jaringan bersama diaspora Malaysia di Beijing yang diadakan di Restoran Eastern, bagi merapatkan hubungan serta mengukuhkan peranan komuniti profesional dan usahawan Malaysia di republik itu.

Misi perdagangan dan pelaburan rasmi ke China yang bermula 23 September hingga 30 September turut disertai EXCO Pelaburan Ng Sze Han dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop, Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

Lawatan sama turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.