SHAH ALAM, 24 SEPT: Penyediaan dana dan geran kerajaan antara keperluan utama dimahukan penggiat seni dalam usaha meluaskan lagi industri kreatif, kata EXCO keusahawanan.
Berdasarkan maklum balas sepanjang penganjuran Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25), Najwan Halimi berkata kebanyakan penggiat seni berdepan masalah modal hingga menyebabkan hasil karya tidak dapat bergerak dan berkembang.
Berikutan itu, beliau berharap peruntukan sewajarnya diumum pada Belanjawan Selangor 2026 bagi memperkasa serta memajukan ekonomi jingga pada masa depan.
“Mereka mahu lihat bagaimana Kerajaan Negeri boleh bantu dari segi geran dan dana untuk mereka gerakkan atau memulakan perusahaan.
“Kita harapkan peruntukan sewajarnya pada belanjawan. Permohonan dan perbincangan bersama pihak tertentu sudah dibuat dan difahamkan mendapat maklum balas positif daripada Dato’ Menteri Besar,” katanya kepada Media Selangor.
Najwan berkata program CRE8Fund melibatkan peruntukan RM80,000 yang berlangsung sempena SCEE25 merupakan langkah awal penyediaan dana bagi membantu penggiat seni mendapatkan modal.
“Peserta mengemukakan cadangan masing-masing dan kita akan pertimbang dari segi keperluan serta keunikan. Dari sini kita lihat memang pemain industri memerlukan dana.
“Selepas ini kita akan lihat bagaimana bentuk bantuan bersesuaian dan juga keperluan lain untuk mereka,” katanya.
Semalam, buat julung kali Selangor menjayakan SCEE25 yang menjadi platform mengangkat negeri ini sebagai hab kreatif serantau dengan sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM20 bilion menjelang 2035.
Sepanjang dua hari berlangsung, program yang dianjurkan bersama Selangor Youth Community (SAY) turut mengetengahkan enam pemangkin utama merangkumi pembangunan bakat, akses pasaran dan pembiayaan.
Turut ditekankan pada program bertema ‘Re:Imagine Selangor-Creativity is the New Economy’ adalah aspek kesiapsiagaan infrastruktur, pemerkasaan digital serta tadbir urus yang mantap.