ad

Seksyen 13 berpotensi jadi hab seni baharu, Selangor miliki ramai bakat tempatan

24 Sep 2025, 12:22 PM
Seksyen 13 berpotensi jadi hab seni baharu, Selangor miliki ramai bakat tempatan
Seksyen 13 berpotensi jadi hab seni baharu, Selangor miliki ramai bakat tempatan
Seksyen 13 berpotensi jadi hab seni baharu, Selangor miliki ramai bakat tempatan
Seksyen 13 berpotensi jadi hab seni baharu, Selangor miliki ramai bakat tempatan

SHAH ALAM, 24 SEPT: Seksyen 13 di sini, dikenalpasti antara lokasi strategik untuk dijadikan hab seni atau pusat kegiatan seni dan budaya di Selangor.

Peneraju syarikat penerbitan buku Rabak-Lit, Izzat Amir berkata Selangor memiliki ramai bakat tempatan yang menyerlah dan peluang itu harus dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Idea mahu buka hab kreatif ini berdasarkan pengalaman sendiri. Awal 2000-an dulu saya libatkan diri dengan Pasar Frinjan, dan ada juga saya anjur persembahan kumpulan muzik.

“Di Shah Alam juga ada kumpulan muzik yang hebat seperti Seven Collar T-Shirt, dan kita juga ada penulis yang berasal dari Shah Alam. Ada juga yang bukan anak kelahiran Shah Alam, tetapi lahir dari program kreatif di Shah Alam,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau ditemui ketika menyertai Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.

Peneraju syarikat penerbitan buku Rabak-Lit Izzat Amir bercakap kepada media pada majlis penutupan Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor (SCEE25) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 24 September 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Izzat menambah, hab kesenian di Selangor perlu mengambil kira ruang untuk berkreativiti bersama komuniti setempat tanpa dilihat terlalu terikat dengan polisi kerajaan.

Menurutnya, Selangor juga berpeluang mencipta kelainan tersendiri dan tidak perlu menggunakan kaedah sama seperti di Ipoh atau Pulau Pinang yang mengguna pakai bangunan lama sebagai pusat kesenian.

“Di Selangor kita tidak ada banyak bangunan lama. Tidak semestinya kita perlu ikut cara Ipoh dan Pulau Pinang. Kita tidak perlu terikat dengan nostalgia, dan ini bukan satu kekangan pun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui pernah merancang untuk menghidupkan kembali hab kreatif di sebuah lokasi di Seksyen 13, namun berdepan kerenah birokrasi.

Jelasnya, masalah tersebut turut menyebabkan ramai pemain industri seni tidak mampu meneruskan lagi kegiatan mereka dan terpaksa gulung tikar.

“Polisi ini yang menyusahkan kita. Mahu dapatkan dana pinjaman pun, mereka tetapkan peraturan yang tidak munasabah. Perlu ada pulangan yang beribu-ribu,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.