IPOH, 24 SEPT: Pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) secara berperingkat bertujuan memastikan penyaluran subsidi lebih tersusun serta mengelakkan ketirisan, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.
Beliau berkata dalam fasa pertama, semua rakyat Malaysia yang mempunyai kad pengenalan dan lesen memandu sah serta masih aktif layak menikmati harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter.
“Selepas fasa pertama ini, kita akan lihat dahulu bagaimana pelaksanaannya. Daripada situ, barulah kita akan membuat penambahbaikan. Sebagai contoh, mungkin selepas itu golongan T15 tidak lagi dimasukkan dalam senarai penerima subsidi RON95.
“Kita mahu pastikan proses transisi berlaku dengan seminimum mungkin kesulitan, selain mengurangkan masalah teknikal dari segi pelaksanaan dan mekanisme. Matlamatnya ialah memastikan dasar ini berjalan lancar serta mencapai hasrat kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Rangkaian Pusat Pencerapan Kesihatan Komuniti SDG (MASCHON) di Dewan NCMS-CARITAS di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Kamil berkata beliau memahami sekiranya terdapat pihak yang mempersoalkan penetapan had 300 liter bagi subsidi petrol RON95 menerusi program itu, namun keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira penggunaan purata rakyat berdasarkan sesi libat urus yang diadakan.
“Saya tiada masalah menerima pandangan sebegini kerana kerajaan hari ini adalah kerajaan yang mendengar. Namun, keputusan menetapkan had 300 liter dibuat selepas pelbagai sesi libat urus.
“Purata penggunaan rakyat di negara ini ialah sekitar 200 hingga 220 liter sebulan, jadi jumlah itu dibulatkan kepada 300 liter bagi mengelakkan isu berbangkit,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga akan menilai semula sama ada jumlah 300 liter sebulan itu mencukupi bagi menampung keperluan rakyat.
“Kalau tiada had, apa mekanisme kawalan yang kita ada untuk RON95? Ia boleh membuka ruang kepada pihak lain mengambil kesempatan, contohnya berniaga minyak. Jadi isu ketirisan subsidi tidak akan selesai,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa melalui BUDI95, rakyat Malaysia akan menikmati harga petrol RON95 pada RM1.99 berbanding RM2.05 seliter bermula 30 Sept ini, tanpa mengambil kira tahap pendapatan.
Bagi bukan warganegara pula, harga RON95 adalah pada RM2.60 bermula tarikh sama.
- BERNAMA