ad

Kanak-kanak terlibat kes seksual perlu dibimbing, bukan dihukum

24 Sep 2025, 4:46 AM
Kanak-kanak terlibat kes seksual perlu dibimbing, bukan dihukum

PUTRAJAYA, 24 SEPT: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata individu bawah umur yang terlibat dalam hubungan seksual sama ada atas kerelaan atau suka sama suka tidak seharusnya dikenakan hukuman, sebaliknya wajar diberikan perlindungan, bimbangan dan pemulihan.

Beliau berkata mereka berhak mendapat peluang dan ruang untuk belajar daripada kesilapan, memulihkan diri dan membina semula kehidupan tanpa dibebani stigma atau trauma jangka panjang.

Nancy berkata hal itu perlu dilihat dengan mengambil kira pembangunan diri kanak-kanak daripada segi emosi, kognitif, sosial dan sebagainya yang dapat membantu kanak-kanak menilai sendiri kesan sesuatu tindakan yang diambil.

"Justeru, fokus utama KPWKM berhubung isu ini adalah untuk memberi tumpuan kepada kaunseling, pendidikan dan sokongan yang tersusun bagi menjamin pembangunan serta kesejahteraan masa depan mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nancy, pendekatan perundangan dan program sedia ada turut menekankan intervensi, perlindungan serta proses pemulihan bagi kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang adalah selaras dengan pendirian KPWKM.

"Sistem berperingkat menerusi pendekatan berbeza sama ada melibatkan pemulihan dalam komuniti mahupun melalui institusi kanak-kanak seperti asrama akhlak dan institusi pemulihan lain adalah untuk memastikan kanak-kanak menerima bimbingan dan sokongan sewajarnya di setiap tahap," katanya.

Nancy menegaskan individu dewasa memikul tanggungjawab utama untuk membimbing serta melindungi kanak-kanak, manakala sebarang bentuk eksploitasi atau penderaan terhadap mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau berkata kenyataan dan pandangan dikeluarkan pelbagai pihak tanpa asas yang kukuh boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat berhubung sifat semula jadi kanak-kanak yang perlu dibimbing dan dilindungi.

"Isu ini tidak boleh ditangani melalui peruntukan undang-undang semata-mata. Ia memerlukan kesedaran, kekuatan institusi keluarga serta pembabitan komuniti untuk membina sahsiah dan jati diri masyarakat menerusi pembabitan dan kebersamaan komuniti," katanya.

Nancy berkata KPWKM komited untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam usaha mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua kanak-kanak.

"Setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang kedua. Jalan ke hadapan bukan melalui hukuman, tetapi melalui penjagaan, bimbingan dan perlindungan," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.