ad

Pakar saran literasi AI diperkasa di sekolah demi generasi celik digital beretika

24 Sep 2025, 3:24 AM
Pakar saran literasi AI diperkasa di sekolah demi generasi celik digital beretika
Pakar saran literasi AI diperkasa di sekolah demi generasi celik digital beretika

JOHOR BAHRU, 24 SEPT: Kempen Internet Selamat di sekolah wajar diperkasa dengan modul literasi kecerdasan buatan (AI) bagi melahirkan generasi muda yang celik digital, beretika dan mampu menghadapi cabaran dunia maya.

Pensyarah Kanan Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Noor Zuraidin Mohd Safar berkata ketika ini kempen itu lebih menekankan penggunaan Internet secara beretika dan selamat.

Beliau bagaimanapun berkata perkembangan teknologi menuntut pelajar turut memahami bagaimana AI membentuk maklumat, media sosial dan aplikasi harian.

“Modul literasi AI boleh merangkumi topik seperti cara algoritma berfungsi, risiko bias dalam data, etika penggunaan AI serta ancaman seperti deepfake. Dengan pengetahuan ini, murid bukan sahaja celik Internet tetapi juga mampu menganalisis maklumat dengan kritis,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Noor Zuraidin berkata pendidikan literasi AI di sekolah akan menyediakan asas kukuh untuk pelajar menghadapi cabaran pembelajaran digital dan pasaran kerja, sekali gus menyokong aspirasi negara ke arah masyarakat celik digital sepenuhnya.

Beliau berkata cabaran utama AI ialah penyalahgunaan teknologi yang boleh menjejaskan keselamatan, privasi dan etika, antaranya penipuan dalam talian, buli siber berasaskan AI serta manipulasi data dan maklumat.

“Oleh itu, pendidikan literasi AI amat penting bagi menanam kesedaran, tanggungjawab dan etika penggunaan teknologi sejak awal agar generasi muda bukan sahaja pengguna tetapi juga pencipta yang berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik Institut Kecerdasan Buatan dan Data Raya (AIBIG), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Nooraziah Ahmad menyifatkan AI kini berada pada tahap sama seperti kemunculan telefon pintar kerana sama ada masyarakat mahu menerima atau menolak, ia tetap mengubah cara hidup dan bekerja.

“Jika tidak mengikut perubahan teknologi, mereka akan ketinggalan. AI memberi banyak manfaat terutama dalam produktiviti. Kalau dahulu menulis karangan mengambil masa panjang, dengan AI hanya beberapa saat ia boleh siap,” katanya.

Beliau berkata pendedahan awal AI juga selaras dengan Dasar Pendidikan Digital Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kerangka Literasi Digital Kebangsaan yang menekankan kemahiran abad ke-21, namun pelajar berisiko ketinggalan jika hanya menjadi pengguna pasif tanpa memahami teknologi atau membina kemahiran digital lebih tinggi seperti pengekodan dan analisis data.

Senada dengan itu, pekerja swasta Azlianti Mahmood, 37, yang juga ibu kepada tiga anak berharap silibus berteraskan keselamatan siber dan AI dapat dijadikan antara subjek utama di sekolah menengah.

“Subjek komputer sudah lama diperkenalkan, namun penekanan mengenai AI perlu diperkasa. Bagi saya, ia wajar dimulakan di peringkat sekolah menengah kerana tidak semua pelajar berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti,” katanya.

Beliau berkata Kempen Internet Selamat di sekolah sememangnya memberi manfaat kepada pelajar dari segi kemahiran digital, namun modulnya wajar diperkaya dengan isu dan cabaran AI terkini.

Kempen Internet Selamat adalah inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi meningkatkan kesedaran rakyat mengenai keselamatan siber serta penggunaan Internet secara beretika, termasuk menerusi program di sekolah bagi melindungi pelajar daripada ancaman digital.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.