SHAH ALAM, 24 SEPT: Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA) menyambut baik langkah kerajaan mengecualikan pemandu e-panggilan daripada had 300 liter sebulan di bawah program subsidi bersasar petrol RON95, BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Presidennya Mohd Azril Ahmad bagaimanapun menegaskan mekanisme telus perlu diwujudkan supaya hanya pemandu berkelayakan sahaja menerima manfaat tambahan itu.

“Kami memang sangat perlukan subsidi minyak kerana penggunaan bahan api dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding pengguna biasa.
“Kerajaan juga perlu mempertimbangkan pelarasan kadar tambang kerana struktur sedia ada agak tidak memihak kepada pemandu,” katanya kepada Media Selangor.
Bagi memastikan ketelusan, Mohd Azril mencadangkan kerajaan memperkenalkan sistem jam dalam talian (online hours system) yang menyelaras semua platform e-panggilan berdaftar.
Katanya, cadangan menggunakan MyKad kurang praktikal, sebaliknya aplikasi seperti Setel boleh membantu mempercepatkan proses tuntutan subsidi.
Semalam, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan semua rakyat Malaysia layak menerima sehingga 300 liter petrol RON95 sebulan di bawah BUDI95.
Pengumuman sama turut menyebut pemandu e-panggilan diberi pengecualian daripada siling kelayakan itu dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.
Menurut MOF, pelaksanaan subsidi dipermudah melalui pengesahan menggunakan MyKad di stesen minyak serta opsyen digital e-dompet TNG dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel (Petronas) serta CaltexGo.
BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan 300,000 anggota polis dan tentera pada 27 September ini, disusuli penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) golongan B40 sehari kemudian.