BEIJING, 23 SEPT: China kekal berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam perjuangan memulihkan hak bangsa mereka yang sah, kata jurucakap Kementerian Luar Guo Jiakun.
Beliau berkata demikian rentetan laporan bahawa beberapa negara antaranya Britain, Kanada dan Australia telah secara rasmi mengiktiraf negara Palestin.
Sehubungan itu, Guo menegaskan bahawa tugas paling mendesak ketika ini adalah menggerakkan gencatan senjata menyeluruh di Gaza dan meredakan malapetaka kemanusiaan yang berterusan.
“Negara-negara yang mempunyai pengaruh besar terhadap Israel perlu memikul tanggungjawab,” katanya sambil menambah bahawa prinsip “rakyat Palestin mentadbir Palestin” mesti dijunjung, selain memastikan hak sah bangsa Palestin dalam pembangunan semula dan pentadbiran pasca konflik dijamin sepenuhnya.
Guo turut menekankan bahawa formula “penyelesaian dua negara” mesti dijadikan pegangan yang memerlukan pembentukan konsensus antarabangsa lebih kukuh serta penolakan terhadap sebarang tindakan unilateral yang boleh menjejaskan usaha penyelesaian berkenaan.
- BERNAMA-CMG