ad

MOT benarkan kenderaan rekreasi dilesenkan bagi tujuan komersial mulai 2016

23 Sep 2025, 5:33 AM
MOT benarkan kenderaan rekreasi dilesenkan bagi tujuan komersial mulai 2016

KAJANG, 23 SEPT: Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju membenarkan perkhidmatan kenderaan rekreasi (RV) dilesenkan dan dikawal selia bagi tujuan komersial bermula 1 Jan 2026.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata langkah itu diambil bagi menyokong perkembangan segmen pelancongan berasaskan kenderaan rekreasi yang kini menunjukkan pertumbuhan positif di Malaysia.

Beliau berkata dasar baharu itu juga akan membolehkan RV digunakan sebagai Kenderaan Sewa dan Pandu Pelancongan (KSPP) di Semenanjung serta Kereta Sewa Pandu (KSP) di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke (tengah) ketika sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pejabat Baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Kajang, pada 23 September 2025. Foto BERNAMA

“Pelaksanaannya adalah terhad kepada kenderaan baharu sama ada Completely Knocked Down (CKD) atau Completely Built-Up (CBU), berkuat kuasa 1 Jan 2026,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pejabat Baharu JPJ Cawangan Kajang, di sini hari ini.

Loke berkata RV persendirian yang didaftarkan sebelum 31 Dis 2025 boleh dikomersialkan dengan syarat berusia tidak melebihi 15 tahun serta lulus pemeriksaan teknikal yang akan ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata MOT dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut mengkaji pelaksanaan permohonan lesen RV secara single window bagi memudahkan urusan pengendali.

“Bermula 1 Jan 2026, mana-mana kenderaan RV baharu yang ingin disewakan hanya perlu mendapatkan satu permit daripada MOTAC bagi membolehkan ia digunakan untuk aktiviti pelancongan memandangkan aktiviti pelancongan bukan di bawah bidang kuasa MOT,” katanya.

Beliau menegaskan langkah pelesenan itu penting untuk mengawal selia operasi, menjamin keselamatan pengguna dan melindungi kepentingan penyewa melalui penguatkuasaan permit yang ditetapkan.

Mengulas mengenai kes seorang pemandu kereta sewa haram dipercayai menipu pelancong asing dengan mengenakan tambang lebih RM800, Loke berkata kumpulan terbabit menyewa kenderaan daripada syarikat atau individu sebelum menggunakannya untuk perkhidmatan pengangkutan secara haram.

“Modus operandi mereka mudah. Kereta bukan milik sendiri, jadi jika disita atau dilucut hak, mereka tidak terjejas. Malah, keuntungan harian yang diperoleh daripada seorang pelanggan boleh mencecah ratusan ringgit,” katanya.

Loke berkata JPJ akan memperketat tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan ‘ulat’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) manakala pengintipan dan operasi terus dijalankan bagi memastikan aktiviti itu dihapuskan.

“Kita juga akan meneliti sama ada peruntukan undang-undang sedia ada mencukupi atau perlu diperketat bagi memberi mesej jelas bahawa perbuatan ini tidak boleh dikompromi,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.