ad

JPN, MoF selaras sistem elak MyKad hilang disalah guna tebus bantuan kerajaan

23 Sep 2025, 3:59 AM
JPN, MoF selaras sistem elak MyKad hilang disalah guna tebus bantuan kerajaan
JPN, MoF selaras sistem elak MyKad hilang disalah guna tebus bantuan kerajaan

PUTRAJAYA, 23 SEPT: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengintegrasikan sistem MyKad dengan Kementerian Kewangan (MoF) bagi memastikan kad pengenalan yang dilaporkan hilang tidak disalah guna untuk menebus bantuan kewangan yang disalurkan kerajaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu diambil susulan terdapat insiden penyalahgunaan MyKad yang dilaporkan hilang telah digunakan untuk menebus Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Apabila seseorang melaporkan kehilangan MyKad, JPN akan segera menyahaktifkan kad tersebut dalam sistem kami... namun sebelum ini, sistem itu tidak diselaraskan dengan MOF menyebabkan kad berkenaan masih boleh digunakan untuk tujuan lain.

“Mulai sekarang, apabila MyKad dinyahaktif oleh JPN, sistem MOF juga akan menerima isyarat yang sama sekali gus menyekat penggunaannya secara automatik,” kata beliau pada sidang media selepas melakukan tinjauan di kaunter JPN sempena hari pertama pelaksanaan penggantian cip MyKad rosak secara percuma di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita mendakwa MyKad yang hilang telah disalah guna oleh individu tidak dikenali untuk menebus SARA.

Saifuddin Nasution berkata walaupun jumlah kes yang direkodkan sebelum ini adalah kecil iaitu kira-kira 100 kes berbanding lebih 18 juta penerima yang layak, kerajaan memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan integriti data dan keselamatan sistem subsidi bersasar.

Beliau berkata penambahbaikan itu dilaksanakan bagi menyokong inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, dengan pelaksanaan untuk orang awam bermula 30 September ini.

Selain integrasi sistem, Saifuddin Nasution berkata JPN turut mengambil langkah proaktif memastikan rakyat menukar MyKad rosak khususnya cip yang tidak boleh dibaca bagi mengelakkan masalah ketika menebus subsidi bersasar menggunakan dokumen pengenalan diri itu.

“Mulai hari ini hingga 7 Oktober, JPN menawarkan penggantian MyKad rosak akibat cip tanpa sebarang caj berbanding caj biasa RM10... purata permohonan penggantian MyKad rosak sebelum ini ialah sekitar 30,000 sebulan tetapi selepas hebahan dibuat, angka itu dijangka meningkat kepada 40,000 permohonan,” katanya sambil menambah kemudahan itu dianggarkan menelan belanja RM714,660 termasuk kos lain yang berkaitan kepada kerajaan.

Beliau turut memberi jaminan stok cip MyKad mencukupi dan sebahagian besar urusan penggantian sama ada di Ibu Pejabat JPN, pejabat JPN seluruh negara dan Pusat Transformasi Bandar dapat disiapkan dalam tempoh sehari.

“Langkah ini adalah untuk meminimumkan gangguan pada hari pelaksanaan subsidi bersasar namun sekiranya masih berlaku masalah teknikal, MOF telah bersedia dengan kaedah manual menggunakan nombor kad pengenalan di kaunter,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.