KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini sekali gus meneruskan kenaikannya apabila keyakinan pasaran didorong oleh pendirian dasar tegas kerajaan susulan rasionalisasi subsidi RON95.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1885/2085 berbanding dolar AS daripada 4.1945/2040 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata rasionalisasi subsidi RON95 menunjukkan pihak berkuasa mengambil pendekatan pragmatik untuk mendukung disiplin fiskal.
“Pada masa sama, usaha sedang dilakukan untuk memastikan risiko peningkatan kos sara hidup tidak menjejaskan kuasa beli pengguna. Dalam erti kata lain, langkah ini boleh dianggap sebagai positif dari segi kredit kerana membolehkan teknologi terbenam dalam MyKad digunakan sepenuhnya sebagai sebahagian alat dasar.

“Diharapkan akan ada penambahbaikan lebih terperinci mengenai cara subsidi boleh dirasionalisasikan lagi, dengan memberi tumpuan kepada tahap pendapatan.
“Dalam konteks ini, langkah sedemikian boleh memberi kesan yang bermanfaat kepada ringgit dalam jangka masa sederhana hingga panjang,” katanya.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga RON95 akan dikurangkan kepada RM1.99 seliter daripada RM2.05 melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), berkuat kuasa 30 September 2025.
Mohd Afzanizam berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.31 peratus kepada 97.34 mata berikutan pandangan berbeza dalam kalangan pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai kadar faedah.
“Presiden Fed Atlanta Raphael Bostic, Presiden Fed St Louis Alberto Musalem dan Presiden Fed Cleveland Beth Hammack cenderung kepada kadar faedah tinggi.
“Sementara itu, ahli lembaga Fed Stephen Miran, yang mengundi bagi pengurangan sebanyak 50 mata asas dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) yang lepas, menyatakan kadar neutral adalah pada 2.0 peratus, menunjukkan pendirian dasar monetari semasa adalah sangat ketat,” katanya.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata subsidi bahan api RON95 oleh kerajaan, yang menyediakan 300 liter sebulan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira pendapatan, secara efektif telah meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah.
“Memandangkan kurang wang dibelanjakan untuk bahan api, pengguna mempunyai lebih banyak untuk dibelanjakan bagi perkara lain, sekali gus memberikan sokongan tambahan kepada ekonomi tempatan.
“Ini, ditambah dengan kelemahan dolar AS di peringkat global, meletakkan ringgit untuk terus didagangkan pada trajektori yang menggalakkan hari ini,” katanya.
Pada pembukaan, ringgit dinigakan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.
Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8352/8488 daripada 2.8364/8430 ketika ditutup pada Isnin dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.6595/6865 daripada 5.6630/6758.
Bagaimanapun ringgit susut berbanding euro kepada 4.9420/9656 daripada 4.9390/9502.
Ringgit juga lebih kukuh berbanding mata wang negara Asean.
Mata wang domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2672/2830 daripada 3.2688/2764 semalam, dan naik berbanding baht Thailand kepada 13.1822/2518 daripada 13.1890/2243.
Ringgit juga naik berbanding peso Filipina kepada 7.34/7.38 daripada 7.35/7.37, dan hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 252.1/253.4 daripada 252.5/253.1.
- BERNAMA