ad

152 ditahan ceroboh Hutan Simpan Ayer Itam sejak awal tahun ini

23 Sep 2025, 1:00 AM
152 ditahan ceroboh Hutan Simpan Ayer Itam sejak awal tahun ini

SHAH ALAM, 23 SEPT: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menahan 152 individu sejak awal tahun ini, atas kesalahan memasuki kawasan Hutan Simpan Ayer Itam (HSAI) di Puchong tanpa kebenaran bagi tujuan aktiviti rekreasi.

Timbalan Pengarah (Operasi Hutan) JPNS Mohd Nor Firdaus Rahim berkata penahanan bertujuan membanteras isu pencerobohan dan penerokaan itu dibuat menerusi tiga operasi yang dilaksanakan pada Januari, Februari dan September ini.

“Kesalahannya adalah memasuki hutan simpan tanpa kebenaran di bawah Seksyen 47, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM30,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan kepada Media Selangor.

Menurut Mohd Nor Firdaus, keindahan HSAI yang tersebar di media sosial sehingga menjadi bualan warganet menyebabkan hutan berkenaan kerap diceroboh pengunjung dan pendaki.

Jelasnya, laluan 2.8 kilometer (km) - salah satu laluan pencerobohan HSAI - merupakan laluan masuk yang bersempadanan dengan tanah persendirian dan tidak mempunyai pagar.

“Bermula daripada laluan tersebut, orang awam akan terus memasuki kawasan hutan sehinggalah ke kolam, jeram, sungai dan kawasan hutan yang lain.

“Dengan kehadiran pengunjung yang ramai, banyak laluan-laluan lain yang dibuat (lorong tikus) seterusnya mengundang kepada kes-kes sesat di dalam HSAI,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang awam dan pendaki menjalankan aktiviti rekreasi di kawasan yang dibenarkan selain perlu mendapatkan permit memasuk hutan simpan melalui Selangor Forestry E-Permit System atau SEFOREST.

“Jika orang awam masih berminat untuk mendaki dan menjalankan aktiviti mandi-manda. Di Selangor kita mempunyai kawasan pendakian dan kawasan riadah utk mandi-manda, tetapi bukan di HSAI,” katanya.

Untuk rekod, HSAI diwartakan sebagai hutan simpanan kekal sejak 1906 di mana Universiti Putra Malaysia (UPM) telah diberi kebenaran oleh Kerajaan Negeri secara perjanjian jangka panjang selama 99 tahun bermula 1996 sehingga 2095.

Semalam, seramai 75 individu ditahan dalam Ops Jejak 2 selepas didapati memasuki kawasan larangan iaitu HSAI tanpa permit sah.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad dilapor berkata mereka ditahan kira-kira jam 11 pagi oleh pasukan penguat kuasa JPNS dengan kerjasama Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah, UPM dan Balai Polis Puchong Jaya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.