ad

Misi Global Sumud Flotilla kini memasuki detik penentu

22 Sep 2025, 9:07 AM
Misi Global Sumud Flotilla kini memasuki detik penentu

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini sedang berlayar ke perairan antarabangsa berhampiran Greece sebelum menuju ke Gaza memasuki fasa paling penting dan disifatkan detik penentu keseluruhan gerakan itu dalam tempoh seminggu ini.

Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM) Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman yang menyertai misi itu berkata kapal GSF kini menuju ke perairan berkenaan untuk berkumpul dengan kapal-kapal lain, yang turut serta dalam misi itu.

Beliau yang menaiki kapal ALMA dalam misi bantuan itu berkata kapal berkenaan dijangka tiba di kawasan berhampiran Greece dalam masa dua hari lagi.

“Sebenarnya (jarak dari) Greece itu sangat dekat (dengan Gaza), saya tanya Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman mungkin dari Greece memakan masa empat hingga lima hari lagi sebelum sampai ke bumi Gaza.

“Seminggu ini juga sebenarnya detik penting atau penentu segala apa yang kami buat... Jadi, kami perlukan doa daripada seluruh rakyat Malaysia untuk kejayaan misi GSF,” katanya semasa penstriman langsung bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menerusi aplikasi TikTok hari ini.

Ahmad Musa menyifatkan kejayaan misi GSF tidak hanya diukur melalui ketibaan fizikal kapal ke Gaza, sebaliknya turut dilihat daripada kejayaan mengangkat semula isu Palestin ke peringkat antarabangsa termasuk menerusi platform media sosial.

“Kini, semua orang bercakap tentang Gaza, kekejaman yang berlaku terhadap saudara-saudara kita di sana. Di media sosial, isu Palestin kembali menjadi tumpuan. Itulah kejayaan sebenar misi ini,” katanya.

Beliau berkata solidariti antarabangsa juga terbukti apabila dimaklumkan puluhan ribu pekerja di pelabuhan di Genoa, Itali akan mengadakan mogok besar-besaran sekiranya kapal GSF diganggu sepanjang pelayaran.

“Mereka ada hantar satu kapal dari Itali (dalam GSF) yang akan memberi isyarat. Mereka beri masa 20 minit dan jika putus komunikasi dengan kapal ini, mereka akan tutup satu daripada pelabuhan terpenting Itali yang menjadi pelabuhan penting kepada Israel untuk penghantaran bekalan, senjata dan sebagainya,” katanya.

Mengenai isu keselamatan pelayaran GSF, Ahmad Musa berkata sebagai langkah berjaga-jaga, kesemua peserta flotila termasuk beliau sendiri mengambil giliran untuk memantau keadaan semasa pelayaran kapal masing-masing pada sebelah malam, susulan kemunculan beberapa dron sejak kebelakangan ini.

“Malam sahaja dron ini datang, pagi hilang tetapi kami tidak tahu sama ada dron ini mengikuti kapal kami tetapi apa yang kami tahu dan kami nampak semalam, ada lima hingga enam dron tanpa menggunakan teropong pun, jadi GSF ambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan, dijadualkan tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini, membabitkan lebih 1,000 sukarelawan yang menaiki hampir 70 bot dengan satu matlamat iaitu memecah kepungan terhadap Gaza.

GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah, dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.