ad

MOF: Rakyat tiada lesen memandu, tidak layak subsidi RON95

22 Sep 2025, 7:26 AM
MOF: Rakyat tiada lesen memandu, tidak layak subsidi RON95

SHAH ALAM, 22 SEPT: Hanya warganegara Malaysia berusia 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu sah layak menyertai Program Budi Madani RON95 (BUDI95).

Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan individu tempatan tanpa lesen memandu tidak boleh menikmati subsidi petrol berkenaan yang ditetapkan pada kadar RM1.99 seliter.

“Mesti ada lesen memandu yang sah dan aktif,” kata kementerian itu seperti dipetik Sinar Harian.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula Selasa depan.

Mekanisma pelaksanaan itu bagaimanapun dijalankan secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan dan menguji sistem sebelum dibuka sepenuhnya kepada lebih 16 juta pengguna yang layak.

Sabtu ini, anggota polis dan tentera akan menjadi kumpulan pertama menikmati harga baharu itu sebagai langkah percubaan.

Golongan B40 dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula akan menerima manfaat pada 28 September sebelum dibuka kepada semua warganegara pada 30 September.

Bagi golongan yang tidak layak, seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahap tanpa subsidi, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.