ad

Pejuang barah tahap empat raih 9A SPM meski dua tahun tinggal sekolah

27 Sep 2025, 1:00 AM
Pejuang barah tahap empat raih 9A SPM meski dua tahun tinggal sekolah

HULU LANGAT, 27 SEPT: Di sebalik senyum manis seorang remaja bernama Anna Syuhada Sofiyanr Raslin, tersimpan kisah getir penuh doa dan pengorbanan.

Pada usia 13 tahun, dia berdepan ujian berat apabila disahkan menghidap barah tulang tahap empat, penyakit yang hampir meragut nyawanya dan memaksanya meninggalkan bangku sekolah hampir dua tahun.

Namun, anak keenam daripada lapan beradik ini membuktikan ketabahan mampu mengatasi segalanya apabila memperoleh 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Dari lutut bengkak ke Wad Onkologi

Segalanya bermula sekitar April 2020 dengan tanda kecil seperti lenguh kaki dan cepat penat. Ibunya, Normusazliza Musthafar, 49, mula curiga apabila lutut Anna membengkak.

Pemeriksaan lanjut dan imbasan sinar-X akhirnya membawa kepada diagnosis osteosarcoma tahap empat.

Jururawat menyediakan ubat di Wad Pediatrik Haematologi dan Onkologi Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur pada 19 September 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Bila disahkan mama terangkan segalanya. Pada masa itu, saya cuma tahu barah itu sejenis penyakit, tapi tidak pernah terfikir ia akan mengubah seluruh hidup saya. Namun sepanjang rawatan, barulah sedar barah ini sebenarnya sangat serius,” katanya.

Perjuangan panjang di hospital

Rawatan bermula dengan kemoterapi di Wad Haematologi dan Onkologi, Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur. Rambut gugur, tenaga hilang, malah Anna dua kali dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi hingga hampir kehilangan nyawa.

Pernah juga dia merayu kepada bapanya supaya rawatan dihentikan, namun ketegasan ibunya menyelamatkan nyawa.

Selain itu, Anna menjalani pembedahan besar apabila tulang kaki kirinya terpaksa dibuang dan diganti dengan titanium, yang kekal hingga kini.

“Sepanjang kemoterapi memang tenaga hilang. Tidak ada tenaga. Saya tidak mampu buat apa pun. Segalanya memang keluarga, doktor, jururawat tolong.

“Lagi pula tengok adik beradik masa itu boleh keluar jalan-jalan. Kita nak ikut juga, tapi tak boleh. Rasa down dan ditinggalkan. Jadi mengadu pada ayah untuk henti rawatan, tapi ibu tahu apa yang terbaik. Jadi kita sambung juga rawatan,” katanya.

Kejayaan SPM lahirkan impian jadi doktor

Walaupun tertinggal hampir dua tahun, Anna tidak patah semangat. Beliau mengejar semula pelajaran dengan sokongan guru dan rakan-rakan sehingga berjaya memperoleh keputusan cemerlang.

Anna Syuhada ketika menerima rawatan di hospital

“Dua tahun tertinggal belajar kena banyak bertanyalah juga dengan kawan-kawan, dengan cikgu sebab kita sudah banyak tinggal silibus. Tapi Alhamdulillah semua kawan banyak bantu. Cikgu pun, bila tanya soalan dia tak ada nak meremehkan.

“Cara paling bagus untuk saya kuasai semula adalah dengan fokus dalam kelas. Selain itu, persekitaran dan rakan-rakan belajar juga memainkan peranan. Kami membantu antara satu sama lain Alhamdulillah kawan-kawan saya pun ramai yang semua A,” jelasnya.

Pengalaman panjang sebagai pesakit turut membangkitkan minatnya dalam bidang perubatan. Kini, Anna menuntut di Asasi Sains UiTM Dengkil dengan cita-cita menjadi pakar ortopedik.

“Kita pun dah belajar mengenai ini. Semasa sakit kita tengok ubat dia bagi, belajar terma perubatan. Saya rasa dari situ timbulkan minat. Insya-Allah boleh tolong lagi orang,” katanya.

Pesanan buat pesakit dan ibu bapa

Bagi Anna, pesakit barah tidak boleh mudah menyerah, sebaliknya memerlukan disiplin dan sokongan keluarga.

“Semasa sakit kita cuba sedaya upaya untuk lawan. Untuk ibu bapa, jangan manjakan anak itu. Walaupun mereka menangis, bagi dorongan. Jangan dengar kerenah minta tarik diri dan rawatan sebab nanti bawa padah lagi. Jangan ikutkan kehendak anak sangat.

Pesakit mengisi masa lapang dengan bermain tablet di Wad Pediatrik Haematologi dan Onkologi Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur pada 19 September 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Selain itu cari aktiviti yang boleh buat kita lupa masa itu berlalu. Macam saya dulu suka buat projek mini seperti diamond painting. Jadi benda-benda kecil ini boleh membantu pada saya. Tidak dalah terbaring atas katil saja,” katanya.

Kini, Anna lebih positif dalam menjalani kehidupan, menjaga pemakanan, kekal aktif dan menikmati setiap detik tanpa dibayangi kebimbangan.

“Jalani kehidupan nikmati setiap detik yang ada. Jangan terlalu memikirkan apa yang bakal berlaku. Yang penting saya akan ikut pemeriksaan susulan, kekal aktif,” ujarnya menutup bicara.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.