ad

Ekonomi jingga jadi pemacu inovasi, Selangor sasar kedudukan global

22 Sep 2025, 7:00 AM
Ekonomi jingga jadi pemacu inovasi, Selangor sasar kedudukan global

SHAH ALAM, 22 SEPT: Industri kreatif atau dikenali sebagai ekonomi jingga semakin mendapat perhatian sebagai pemacu pertumbuhan global, keterangkuman sosial dan inovasi.

Sektor ini merangkumi filem, muzik, reka bentuk, fesyen, pengiklanan, permainan video dan penerbitan yang digerakkan oleh imaginasi manusia, kemahiran serta warisan budaya untuk menghasilkan barangan, perkhidmatan dan harta intelek.

Di Selangor, usaha memperkukuh hab kreatif, menyokong syarikat pemula serta memupuk bakat baharu mencerminkan komitmen negeri untuk mengembangkan ekonomi jingga sebagai pengubah permainan kepada inovasi dan pembangunan inklusif.

Persidangan Petubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perdagangan dan Pembangunan pada 2004 mengiktiraf industri kreatif sebagai enjin pertumbuhan, dengan menekankan potensinya memacu transformasi struktur, kemajuan sosioekonomi dan pembangunan mampan.

Lebih daripada sekadar sumber pendapatan, ekonomi kreatif turut memperkukuh pembangunan budaya dan pembinaan komuniti.

“Ekonomi jingga penting untuk pembangunan budaya sesebuah negara dan pembinaan komuniti,” kata Ketua Seni British Council Florence Lambert kepada Media Selangor.

Beliau menjelaskan di United Kingdom, ekonomi jingga adalah salah satu daripada lapan keutamaan nasional dalam Pelan Pembangunan Industri dengan inisiatif merangkumi sokongan kewangan, tenaga kerja mahir, kluster serantau dan industri hadapan.

Bagi Selangor, Ahli Ekonomi Universiti Malaya Prof Rajah Rasiah berkata, peluang besar terletak pada usaha meletakkan negeri sebagai hab kreatif Malaysia dengan memanfaatkan peralihan digital serta teknologi baharu.

“Adalah penting untuk mewujudkan ekosistem pembangunan kemahiran digital bagi mereka yang menguruskan platform dan juga pengguna.

“Negeri perlu membuka platform digital supaya pekerja industri kreatif dapat memanfaatkan analitik Big Data, IoT (Internet of Things) dan robotik yang beroperasi 24 jam.

“Pembangunan kemahiran digital dan tenaga kerja baharu juga mesti diutamakan,” katanya.

Seorang pengunjung melintasi papan tanda bertemakan AI di ruang legar Persidangan Kecerdasan Buatan Sedunia (WAIC) di Shanghai, China pada 26 Julai 2025. Foto REUTERS

Rajah turut menegaskan institusi pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) di Selangor perlu dilengkapi dengan keupayaan kecerdasan buatan (AI) kukuh, baik untuk pelajar sepenuh masa mahupun separuh masa.

“Kepentingan TVET, sama penting dengan sekolah, kolej dan universiti, mesti ditanam sejak awal di peringkat sekolah,” katanya.

Beliau menambah, pekerja gig khususnya melihat sektor kreatif sebagai platform untuk menyalurkan bakat sambil menjana pendapatan.

Rajah juga berkata trend global sedang membentuk ekonomi kreatif, dengan AI dan ekonomi gig sebagai pengubah utama.

“Memandangkan tumpuan terhadap industri kreatif telah membuka ruang kerja sendiri serta peluang kepada kumpulan kecil dengan modal terhad, kecerdasan buatan menyokong kelenturan dan daya saing industri ini,” katanya.

Seiring usaha tersebut, Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) anjuran Kerajaan Negeri bersama Selangor Youth Community (SAY) pada Selasa dan Rabu menjadi platform mempamerkan inovasi, memadankan perniagaan serta membina kerjasama strategik untuk memperkukuh sektor berkenaan.

Dasar dan insentif penting

Lambert juga menegaskan kluster kreatif dan rangkaian seni budaya penting dalam menyokong pertumbuhan sektor ini.

“Kluster kreatif menyediakan ruang ekspresi budaya, pemeliharaan warisan dan inovasi. Ia juga menjadi faktor penting dalam menghadapi revolusi AI serta kesannya terhadap komuniti dan kerjaya,” katanya.

Beliau berkata melalui inisiatif seperti program Hubs for Good British Council di Malaysia, kluster kreatif terbukti mampu memupuk inovasi, pembangunan kemahiran jaringan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta sosial setempat.

Lambert menambah dasar serta insentif juga diperlukan untuk memperluas industri ini.

Pengujung mendengar penerangan kakitangan Bermaz Auto Berhad berkaitan penyelengaraan kenderaan elektrik ketika Sidang Kemuncak Peniagaan Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Rajah mencadangkan potongan cukai untuk latihan digital dan penyelidikan gunaan selain skim geran bersama seperti diamalkan di Belanda dan Taiwan, namun menegaskan pemantauan ketat penting bagi mengelak penyalahgunaan.

“Peraturan teliti terhadap pemberian insentif dan geran dalam industri kreatif akan membantu menjadikan Selangor negeri berasaskan inovasi dengan identiti budaya kukuh,” katanya.

Lambert dan Rajah sepakat bahawa Malaysia berpotensi besar di peringkat global dalam bidang seperti animasi permainan, kandungan digital, fesyen dan pelancongan budaya yang menunjukkan pertumbuhan pesat.

Potensi ini turut disokong oleh insentif kerajaan melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Lambert memberi contoh Dana Skrin Global UK yang ditubuhkan untuk mengukuhkan pertumbuhan antarabangsa industri skrin bebas negara itu.

Dengan peruntukan £28 juta (RM159.07 juta) selama empat tahun, dana berkenaan menyokong pengedaran, penerbitan bersama dan promosi kandungan skrin UK. Pada tahun pertama, ia menyalurkan 75 geran merangkumi pengedaran antarabangsa, penerbitan bersama serta menyokong filem seperti Good Luck to You, Leo Grande dan Living yang menerima pencalonan BAFTA serta Oscar.

“Di peringkat serantau, British Council bekerjasama dengan FCDO (Foreign, Commonwealth and Development Office) dan Sekretariat Asean melalui inisiatif Asean-UK Advancing Creative Economy. Usaha ini membantu membina kapasiti penggubal dasar dan penggiat kreatif, menyokong pembangunan festival, pertukaran ilmu serta penyelidikan mengenai ekonomi kreatif Asean.

“Kursus Latihan Dasar Ekonomi Kreatif memberi pemahaman mendalam kepada penggubal dasar 10 negara Asean tentang kepentingan ekonomi kreatif serta sumbangannya terhadap ekonomi negara, pembangunan budaya dan perpaduan sosial,” kata Lambert.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.