ad

Subsidi RON95, jangan tunggu saat akhir daftar SKPS - Menteri

21 Sep 2025, 5:35 AM
Subsidi RON95, jangan tunggu saat akhir daftar SKPS - Menteri

PENAMPANG, 21 SEPT: Syarikat pengangkutan darat awam dan barangan digesa supaya tidak menunggu saat akhir untuk mendaftar Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) berikutan penyasaran subsidi petrol RON95 akan diumum Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata syarikat terlibat disarankan agar mendaftar awal bagi membolehkan syarikat memperoleh manfaat subsidi sebaik sahaja tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 diumumkan.

Beliau berkata gesaan itu dibuat berikutan bilangan syarikat mendaftar SKPS masih rendah, iaitu daripada 4,647 kenderaan dianggarkan layak, hanya 89 kenderaan di Sabah dan enam di Sarawak telah membuat pendaftaran SKPS.

“Jangan tunggu saat akhir, kalau kita melihat dari segi proses, mendaftar dan memohon SKPS itu mudah. Kita merasakan kalau mereka daftar sekarang, KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) boleh luluskan satu hari, bahkan satu jam pun boleh jika dokumen lengkap.

“Tetapi, proses yang selanjutnya apabila mendapat notifikasi kelulusan, mereka kena memohon fleet card daripada syarikat-syarikat minyak pilihan. Jadi, perkara ini yang akan ambil masa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen Mahasiswa Sabah di sini hari ini.

Konvensyen sehari itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan dihadiri lebih 100 mahasiswa dari seluruh Sabah.

Hari ini, KPDN memaklumkan jumlah kumulatif permohonan SKPS dari 15 Sept hingga semalam adalah sebanyak 1,790 syarikat melibatkan 5,449 kenderaan, dengan 164 syarikat membabitkan 249 kenderaan melengkapkan pendaftaran SKPS.

Kementerian itu menganggarkan kira-kira 100,000 kenderaan syarikat pengangkutan darat awam dan barangan di seluruh negara layak mendaftar menerusi SKPS bagi menikmati subsidi petrol RON95.

Armizan menjelaskan langkah penyasaran subsidi petrol akan dilaksanakan di seluruh negara, dan berbeza dengan penyasaran subsidi diesel yang hanya dilaksanakan di Semenanjung dan subsidi itu dikekalkan di Sabah serta Sarawak.

“Mungkin ada yang tidak jelas. Kemungkinan mereka merasakan sebagaimana diesel, untuk penyasaran subsidi petrol ini tidak terlibat untuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Menurut beliau, subsidi petrol ini bukan sahaja memanfaatkan syarikat-syarikat berkenaan, tetapi juga melindungi rakyat daripada kesan pergerakan harga petrol apabila subsidi tidak diberikan.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.