ad

Empat nelayan positif dadah ditahan maritim, AADK

21 Sep 2025, 2:33 AM
Empat nelayan positif dadah ditahan maritim, AADK

EMPAT NELAYAN POSITIF DADAH DITAHAN MARITIM MALAYSIA, AADK DI PERAIRAN MUAR

MUAR, 21 SEPT: Empat nelayan tempatan ditahan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine dalam operasi bersepadu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Johor di perairan Tanjung Emas di sini, pada 18 hingga 19 Sept lepas.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata sebanyak tujuh vesel nelayan tempatan diperiksa sepanjang operasi dua hari itu.

“Hasil pemeriksaan dan ujian saringan air kencing mendapati empat nelayan positif dadah sebelum diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah dan Penyalahgunaan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi itu membabitkan bot Penggalang 30 dan bot Petir 85, selain penyertaan 12 pegawai AADK Johor dan Muar yang diketuai Timbalan Pengarah Cawangan Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Johor, Zatul Rawiah Abdul Razak.

Menurutnya, dua vesel yang ditahan dalam operasi berkenaan telah diserah semula kepada pemilik masing-masing.

“Maritim Malaysia komited mempergiat operasi bersama agensi penguat kuasa lain bagi memastikan perairan negara bebas daripada jenayah termasuk penyalahgunaan dadah. Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh keselamatan di laut, malah memberi mesej jelas bahawa tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-434 4020.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.