KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Malaysia secara rasmi menyerahkan tugas Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) kepada Filipina pada Perhimpunan Agung AIPA ke-46 yang berlangsung di sini hari ini.
Simbolik penyerahan tugas itu dilakukan dengan menandatangani dokumen serta penyerahan tukul dan bendera AIPA oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul kepada Ketua Delegasi Filipina Raymond Democrito C. Mendoza.
Penyerahan itu menandakan tamat tempoh setahun Malaysia sebagai Presiden AIPA, dengan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung ke-46 bersempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Dalam ucapannya, Johari berkata Malaysia amat berbesar hati telah mempengerusikan dan menjadi tuan rumah perhimpunan itu, serta menegaskan bahawa di bawah kepimpinan Malaysia tumpuan bukan sahaja terhadap resolusi tetapi juga pengukuhan penjenamaan, komunikasi dan jangkauan AIPA agar peranannya terus ketara dan relevan kepada rakyat ASEAN.
Beliau turut menggariskan beberapa pencapaian penting sepanjang tempoh kepresidenan Malaysia, termasuk resolusi yang merangkumi keselamatan politik, integrasi ekonomi, keterangkuman sosial, tindakan iklim, pemerkasaan wanita dan belia, serta kerjasama antara Parlimen ASEAN dan pemerhati Parlimen.
“Antara pencapaian lain ialah AIPA-ASEAN Hearing ke-4, yang terus memperkukuh dialog institusi antara Parlimen dan pemimpin ASEAN bagi memastikan suara legislatif dapat membentuk keutamaan ASEAN, serta Model AIPA ke-5 dianjurkan buat pertama kali di luar Jakarta iaitu di Kuala Lumpur, sekali gus memperluaskan pembabitan belia dan proses hal-ehwal Parlimen.
“Kita juga memperkenalkan persidangan dan pameran “Now & Future”, inisiatif baharu dan bersejarah bagi AIPA yang menghubungkan pembuat dasar, belia, komuniti perniagaan dan masyarakat awam, merapatkan diplomasi Parlimen menerusi kerjasama dengan dunia luar berasaskan inovasi, keterangkuman dan kelestarian,” katanya dalam ucapan penangguhan pada perhimpunan itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)
Beliau berkata Malaysia juga telah menerajui usaha memperbaharui identiti budaya dan komunikasi AIPA, termasuk pelancaran lagu tema “Together We Thrive”, yang melambangkan perpaduan dan meraikan ketabahan rakyat ASEAN.
Johari turut menyuarakan harapan agar semua Ahli Parlimen AIPA secara aktif menyebar, menerima pakai dan melaksanakan elemen substantif terhadap resolusi yang telah dipersetujui.
“Adalah sama penting untuk kita memperkukuh dan memanfaatkan sepenuhnya mekanisme AIPA untuk mengawasi serta melaporkan kemajuan dicapai demi memastikan sumbangan kita kekal berwibawa, telus dan memberi impak,” katanya.
Terdahulu pada perhimpunan itu, turut dibentangkan laporan serta resolusi yang dicapai melalui beberapa jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Hal Ehwal Politik, Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi, Jawatankuasa Hal Ehwal Sosial, Mesyuarat Ahli Parlimen Wanita AIPA (WAIPA) dan Mesyuarat Ahli Parlimen Muda AIPA (YPA).
Sidang kali ini juga menyaksikan Malaysia secara rasmi menamatkan tempoh kepengerusian AIPA dan menyerahkan jawatan Presiden AIPA kepada Filipina.
Upacara simbolik penyerahan tugas itu disempurnakan dengan menandatangani dokumen serta penyerahan tukul dan bendera AIPA oleh Johari kepada Ketua Delegasi Filipina Raymond Democrito C Mendoza.
Penyerahan tersebut menandakan berakhirnya tugas Malaysia sebagai Presiden AIPA, yang dalam tempoh itu Kuala Lumpur telah menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung ke-46 bersempena Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.
Majlis itu turut menyaksikan pertukaran jawatan Setiausaha Agung AIPA Keenam Siti Rozaimeriyanty Dato Haji Abdul Rahman dari Brunei kepada Setiausaha Agung AIPA Ketujuh Dr Chem Widya dari Kemboja.
Perhimpunan yang bermula 18 Sept itu dihadiri wakil daripada sembilan Parlimen Ahli AIPA, selain 14 pemerhati termasuk Parlimen Algeria dan Sepanyol, serta Persidangan Speaker Antara Parlimen (ISC).
Johari turut menyatakan keyakinan bahawa Filipina akan terus memperkukuh diplomasi Parlimen dan kerjasama antara negara anggota ASEAN di bawah kepimpinan negara itu.
Majlis turut menyaksikan penyerahan jawatan daripada Setiauaha Agung AIPA ke-6, Siti Rozaimeriyanty Abdul Rahman dari Brunei kepada Setiausaha Agung AIPA ke-7, Dr Chem Widya dari Kemboja.
Perhimpunan yang bermula 18 Sept lepas dan berakhir hari ini, turut menyaksikan sejumlah 42 resolusi diterima merangkumi tiga bidang utama iaitu politik, ekonomi dan sosial.
Ia dihadiri wakil daripada kesemua sembilan Parlimen anggota AIPA, serta 14 pemerhati termasuk Parlimen Kebangsaan Algeria dan Sepanyol selain Persidangan Speaker Antara-Parlimen (ISC).
- BERNAMA