GOMBAK, 20 SEPT: Sebanyak 12 persatuan etnik dan kaum di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima peruntukan RM60,000 daripada Kerajaan Negeri bagi menyemarakkan aktiviti seni budaya di peringkat akar umbi.
EXCO Kebudayaan Dato’ Borhan Aman Shah berkata dana berkenaan membolehkan komuniti etnik terus aktif menganjurkan program serta memelihara khazanah budaya masing-masing.

“Selain itu, ia memastikan persatuan budaya dapat menjalankan program, membeli alatan muzik, pakaian tradisional, bahan pameran, membaik pulih galeri serta membina bahan digital bagi memelihara warisan budaya masing-masing.
“Setiap persatuan mendapat RM5,000 dan saya harap setiap sen yang disumbangkan diterjemahkan kepada aktiviti yang memberi manfaat demi menyemarakkan seni budaya di negeri ini secara berterusan,” katanya.
Beliau berucap pada Temasya Seni Budaya dan Warisan Selangor di Padang Awam Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves, hari ini, yang dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Menurut Borhan, Kerajaan Negeri juga berhasrat memperluas penganjuran temasya berkenaan ke seluruh daerah bermula tahun depan.
“Temasya yang julung kali diadakan di daerah Gombak ini mendapat sambutan amat memberangsangkan dalam kalangan rakyat.
“Jadi saya sudah kemukakan cadangan kepada Dato’ Menteri Besar untuk pertimbangan bagi menyediakan dana menganjurkan lebih banyak temasya ini di daerah lain,” katanya lagi.