ad

Pemilik restoran cedera parah tangan tersepit mesin pengisar daging

20 Sep 2025, 12:31 AM
Pemilik restoran cedera parah tangan tersepit mesin pengisar daging

IPOH, 20 SEPT: Seorang pemilik restoran cedera parah apabila tangan kanannya tersepit mesin pengisar daging di sebuah premis di Jalan Silang 3, Chemor di sini malam ini.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada 8.17 malam.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati tangan lelaki berusia 41 tahun itu masih berada dalam mesin, namun mangsa dalam keadaan sedar. Pihak bomba memerlukan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membius tangan mangsa kerana mengalami kesakitan ketika operasi dijalankan.

“Mangsa terpaksa menunggu kira-kira 40 minit bagi mendapatkan bantuan pasukan perubatan KKM sebelum kerja menyelamat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya berjaya mengeluarkan tangan mangsa dengan membuka bahagian asas mesin menggunakan peralatan khas serta memutar gear pengisar berlawanan arah.

“Mangsa mengalami kecederaan serius pada empat jari tangan kanan yang tersepit sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan KKM untuk dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut,” katanya.

Difahamkan, mangsa sedang menyediakan bahan masakan iaitu isi ikan yang dikisar dalam mesin itu untuk digunakan restoran berkenaan sebelum tangan kanannya tersepit.

-- BERNAMA

TAG: tangan, tersepit, JBPM, KKM, lelaki, cedera, Shazlean Mohd Hanafiah

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.