Selangor percepat kelulusan sijil halal, tarik lebih ramai peniaga mohon

19 Sep 2025, 11:10 AM
Selangor percepat kelulusan sijil halal, tarik lebih ramai peniaga mohon

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Tempoh kelulusan sijil pengesahan halal Malaysia (SPHM) yang dipendekkan kepada 30 hari berjaya menggalakkan lebih ramai usahawan di Selangor memohon pensijilan berkenaan.

EXCO Industri Halal Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata sehingga kini seramai 8,313 usahawan di negeri ini telah memperoleh sijil halal, merangkumi hampir 30 peratus daripada jumlah keseluruhan pemegang SPHM di Malaysia.

“Selangor kini menjadi penggerak utama industri halal negara. Usaha mempercepatkan proses ini sekali gus memberi keyakinan kepada peniaga dan memudahkan urusan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pra-pelancaran Festival HalalVibe Selangor di Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 hari ini.

Menurut beliau, proses yang dahulunya mengambil masa sehingga 60 hari kini boleh disiapkan antara 23 hingga 25 hari bekerja.

“Sekarang ditetapkan maksimum 30 hari. Jika melebihi tempoh itu, negeri beri komitmen untuk memulangkan semula yuran pemprosesan.

“Bagi pembaharuan sijil pula, kalau masih menepati syarat sebelumnya, kelulusan boleh diberi dalam tempoh 24 hingga 48 jam sahaja,” jelasnya.

Pada September 2023, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempermudah prosedur permohonan serta pembaharuan SPHM dengan keputusan wajib diberi dalam tempoh 30 hari bekerja.

Langkah itu turut disokong dengan penganjuran bengkel pensijilan halal sekurang-kurangnya tiga kali setahun bagi memastikan pemohon memahami garis panduan dan mematuhi piawaian ditetapkan.