Penantian 30 tahun berakhir, bekas peneroka Felda Sungai Buaya hargai jasa MB

19 Sep 2025, 11:41 AM
Penantian 30 tahun berakhir, bekas peneroka Felda Sungai Buaya hargai jasa MB
Penantian 30 tahun berakhir, bekas peneroka Felda Sungai Buaya hargai jasa MB
Penantian 30 tahun berakhir, bekas peneroka Felda Sungai Buaya hargai jasa MB

HULU SELANGOR, 19 SEPT: Penantian lebih tiga dekad berakhir apabila seramai 363 bekas peneroka Felda Sungai Buaya menerima pampasan penuh berjumlah RM375 juta hari ini.

Penyelesaian baki akhir termasuk tunggakan RM74.2 juta oleh pemaju MJD Berhad itu sekali gus menamatkan kemelut tuntutan tanah yang berlarutan sejak 1994.

Rata-rata penerima menzahirkan rasa syukur selain berterima kasih kepada Kerajaan Negeri, khususnya kepimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang disifatkan memainkan peranan penting dalam mempercepat penyelesaian sejak 2018.

Jamadi Mohamad, 80, antara penerima yang memperoleh pampasan RM1 juta, menyifatkan detik itu ibarat mimpi menjadi kenyataan.

Jamadi Mohamad, 80

“Yang utama sekali saya bersyukur kepada Allah SWT, dengan kehendaknya dapat penyelesaian. Kedua, berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar yang bersusah payah dan berusaha mengjayakan pembayaran kami, termasuk rancangan membangunkan Bandar Sungai Buaya.

“Terima kasih juga tidak terhingga mantan-mantan wakil rakyat yang bersama-sama membawa suara kami sehingga baki pampasan berjaya diselesaikan, jasamu dikenang,” katanya.

Beliau berkata pampasan diterima akan digunakan untuk membina rumah baharu demi keselesaan 14 anak serta cucu-cucunya.

Terdahulu Amirudin menyempurnakan majlis penyerahan pampasan berkenaan di pekarangan Pejabat Operasi MJD Berhad di sini.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Musdaf Dalid, 75, menyifatkan penyelesaian itu sebagai penutup kepada cabaran turun naik mahkamah dan krisis ekonomi yang menjejaskan tanah peneroka.

Musdaf Dalid , 75,

“Cabaran paling besar tanah kena kaveat akibat krisis ekonomi 1998. Namun di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar sekarang, tanah dipulangkan semula dan pemaju di bawah pengurusan baharu berjaya melaksanakan pembayaran,” katanya.

Sementara itu, K. Balakrishnan, 84, turut menzahirkan kesyukuran apabila keluarganya yang terkesan sejak 1994 akhirnya menerima pampasan lebih RM700,000.

K. Balakrishnan, 84

“Sepanjang 31 tahun, kami hidup susah akibat pengambilan tanah. Saya bersyukur kepada Tuhan akhirnya selesai. Pampasan ini akan digunakan untuk menampung keperluan lima anak dan cucu,” jelasnya.

Kemelut bermula pada 1994 apabila peneroka menandatangani Perjanjian Jual-Beli tanah ladang seluas 1,255 hektar dengan MJD Berhad bagi pembangunan Bandar Sungai Buaya.

Namun, krisis kewangan Asia 1998 menyebabkan projek terbengkalai dan syarikat digulungkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2008.

Penantian panjang itu akhirnya berakhir selepas MJD di bawah pengurusan baharu melaksanakan beberapa siri penyerahan dokumen hak milik dan melunaskan semua pampasan ganti rugi, termasuk baki terakhir yang diselesaikan hari ini.