ad

Lencongan di Jalan Meru wujud akibat struktur tokong, kuil

19 Sep 2025, 3:06 AM
Lencongan di Jalan Meru wujud akibat struktur tokong, kuil

SHAH ALAM, 19 SEPT: Lencongan di Jalan Meru (FT3217) berpunca daripada kewujudan struktur tokong dan kuil yang terletak dalam jajaran projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) atau dikenali sebagai kawasan Right of Way (ROW).

Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang dalam kenyataan di Facebook memaklumkan jalan tersebut merupakan Jalan Persekutuan yang diserahkan kepada pihak LRT3 pada 2018 bagi tujuan kerja pembinaan dan naik taraf.

“Pada peringkat perancangan, terdapat reka bentuk baharu jalan yang memerlukan perobohan struktur tokong (hadapan) dan kuil (belakang) tersebut.

“Bagaimanapun, pihak LRT3 melalui Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hanya dapat mengambil sebahagian struktur kuil sahaja,” katanya.

Isu tersebut turut mendapat perhatian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang turun padang bersama JKR Klang pada 13 Mei lalu bagi menilai kesan lencongan terhadap keselamatan pengguna jalan raya.

JKR Klang juga menjelaskan jalan berkenaan masih belum diserahkan semula kepada pihaknya kerana audit penerimaan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ), Ibu Pejabat JKR Malaysia belum dilaksanakan sepenuhnya.

Sebelum ini, tular di media sosial luahan kebimbangan seorang pengguna jalan raya mengenai laluan yang tidak lurus selepas naik taraf dipercayai akibat struktur tokong dan kuil yang masih berada dalam laluan asal LRT3.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.