ad

Lebih RM11 juta kompaun kesalahan merokok di premis makanan tahun lalu

19 Sep 2025, 1:03 AM
Lebih RM11 juta kompaun kesalahan merokok di premis makanan tahun lalu

SHAH ALAM, 19 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kompaun berjumlah RM11.45 juta melibatkan 101,521 kesalahan merokok di premis makanan seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sebanyak 19,175 operasi dijalankan oleh Sektor Inspektorat dan Perundangan KKM (SIPKKM), bersamaan lebih 50 operasi sehari di pelbagai lokasi premis makanan.

“Insiden merokok di Shah Alam yang dimuat naik dalam ciapan @SyedAkramin amat membimbangkan dan merupakan satu kesalahan jelas di bawah Akta 852, Seksyen 16(2) yang menggantikan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau di bawah Akta Makanan (Akta 281).

“Justeru, sepanjang 12 bulan yang lalu KKM telah melaksanakan langkah penguatkuasaan yang baik bagi memastikan undang-undang dapat dikuatkuasakan dengan sebaiknya,” katanya di laman X.

dzulkefly

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

Dzulkefly turut menegaskan pemilik dan pekerja premis makanan bertanggungjawab untuk menegur pelanggan yang merokok di kawasan larangan termasuk dalam premis mereka.

Pada masa sama, beliau menekankan pihak berkuasa tempatan dan komuniti juga mempunyai peranan penting dalam memastikan pematuhan akta berkaitan, termasuk peraturan larangan merokok.

Sebelum ini, tular video memaparkan seorang lelaki bertindak agresif dan mencetuskan pergaduhan selepas ditegur kerana merokok di sebuah restoran di Seksyen 7, pada 11 September lalu.

Bagaimanapun, suspek berusia 49 tahun itu telah ditahan pada Rabu lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil iaitu berkelakuan aib.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.