BERLIN, 18 SEPT: Juara Eropah Sepanyol kembali menduduki tempat pertama ranking bola sepak dunia lelaki FIFA buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun manakala Jerman tercicir daripada kelompok 10 terbaik, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Khamis.
Sepanyol dan Perancis yang kini di tangga kedua mengatasi pendahulu sebelumnya iaitu juara dunia Argentina. Kali terakhir Sepanyol berada di kedudukan teratas ialah pada Jun 2014.
Jerman pula jatuh dari tangga kesembilan ke-12 selepas kekalahan dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang Slovakia dua minggu lalu, dengan Croatia, Itali dan Maghribi masing-masing melonjak mengatasi Jerman.

Croatia kini berada di kedudukan kesembilan yang juga tempat terakhir untuk dimasukkan ke dalam balang 1 bagi undian Piala Dunia pada 5 Dis di Washington. Balang 1 akan menempatkan sembilan pasukan teratas dari ranking November serta tiga tuan rumah bersama - Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Slovakia, yang turut menewaskan Luxembourg dalam aksi kelayakan lain, muncul pasukan yang paling meningkat apabila naik 10 anak tangga ke kedudukan ke-42. Zimbabwe pula mencatat penurunan terbesar, jatuh sembilan anak tangga ke kedudukan ke-125.
Pasukan lain dalam kelompok 10 terbaik ialah England, Portugal, Brazil, Belanda dan Belgium.
- BERNAMA