ad

Najwan buat laporan polis, SKMM siasat video lucah palsu berteknologi AI

18 Sep 2025, 10:25 AM
Najwan buat laporan polis, SKMM siasat video lucah palsu berteknologi AI

SHAH ALAM, 18 SEPT: EXCO Belia Mohd Najwan Halimi memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menjalankan siasatan berhubung video lucah palsu yang disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) membabitkan dirinya.

Beliau berkata, pihaknya selesai membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 sekitar jam 4.30 petang tadi, selain rakaman percakapan turut diambil.

“Sebelum ini, kakitangan saya selaku pentadbir emel telah membuat laporan polis. Namun pihak SKMM memerlukan saya sendiri membuat laporan bagi membantu meneliti dan meneruskan siasatan.

“Buat masa ini, saya tidak terima apa-apa lagi ugutan susulan dan pejabat juga tidak hubungi penghantar emel yang mahu menipu, mendapatkan wang dengan cara mudah.

“Saya juga ada berkomunikasi dengan wakil rakyat lain yang terima ugutan seperti ini dan mendapati modus operandi dan emel digunakan sama,” katanya pada sidang media Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di sini, hari ini.

Exco Sukan Mohd Najwan Halimi ketika sidang media acara sukan dipertandingkan pada penganjuran Sukma XXII Selangor2026 di Petals Event Space, Seksyen 7, Shah Alam pada 18 September 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Jumaat lalu, Najwan mendedahkan menerima emel berbaur ugutan daripada akaun tidak dikenali berhubung video lucah palsu berteknologi AI menggunakan wajahnya.

Melalui emel tersebut, beliau diminta membayar AS$100,000 bagi mengelakkan penyebaran video berkenaan.

Najwan percaya ugutan itu menggunakan modus operandi sama seperti yang menimpa Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Subang Jaya Wong Chen serta Ahli Parlimen Sungai Petani Mohammed Taufiq Johari sejak dua minggu lalu.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya berwaspada dengan sebarang bentuk penipuan atau ugutan dalam talian.

“Penyebaran kandungan palsu dan fitnah bukan sahaja mencemarkan maruah individu, bahkan mengancam keharmonian masyarakat,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.