ad

SUKMA Selangor 2026 tawar 474 acara, tertinggi dalam sejarah

18 Sep 2025, 10:12 AM
SUKMA Selangor 2026 tawar 474 acara, tertinggi dalam sejarah
SUKMA Selangor 2026 tawar 474 acara, tertinggi dalam sejarah
SUKMA Selangor 2026 tawar 474 acara, tertinggi dalam sejarah

SHAH ALAM, 18 SEPT: Sebanyak 474 acara bakal dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, tertinggi dalam sejarah penganjuran temasya dwitahunan itu.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata angka tersebut mengatasi rekod terdahulu di Sarawak yang hanya menawarkan 469 acara.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi ketika sidang media acara sukan dipertandingkan pada penganjuran Sukma XXII Selangor2026 di Petals Event Space, Seksyen 7, Shah Alam pada 18 September 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Jumlah acara sukan yang melibatkan 37 sukan ini dipersetujui dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal SUKMA Ogos lalu, paling tinggi dalam sejarah. Acara tambahan melibatkan berbasikal, e-sukan dan kategori wanita.

“Acara kategori wanita ditambah berikutan seruan menteri supaya penyertaan atlet wanita diberi ruang lebih luas. Secara keseluruhan, 239 acara melibatkan atlet lelaki, 217 wanita dan 18 acara campuran,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Najwan, 53 lokasi pertandingan di sembilan daerah Selangor dikenal pasti sebagai gelanggang rasmi, melibatkan kerjasama 12 pihak berkuasa tempatan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta agensi kerajaan dan swasta.

“Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan juga digunakan untuk acara berbasikal memandangkan Selangor tidak mempunyai kemudahan ini. Ia milik Majlis Sukan Negeri, jadi tiada masalah untuk kita memohon menggunakannya,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan pendaftaran negeri atau kontinjen untuk SUKMA Selangor 2026 akan dibuka selama dua minggu bermula 1 November depan.

Najwan berkata permohonan pra-pendaftaran sukarelawan akan dilancarkan pada 30 September ini di Dewan Raja Muda Musa, bersempena Konvensyen Belia Selangor.

“Sekretariat SUKMA Selangor 2026 akan bekerjasama dengan Konvensyen Belia Selangor untuk membuka prapendaftaran. Sekretariat juga akan menyediakan kursus dan latihan bagaimana menjadi hos yang baik untuk tetamu.

“Pada konvensyen itu, kita turut melancarkan kempen menamakan Maskot SUKMA Selangor 2026 secara rasmi,” katanya.

SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA berlangsung dari 5 hingga 14 September 2026.

Helang Putih dipilih sebagai maskot rasmi, manakala obor angka Romawi XXII menjadi logo edisi ke-22.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.