ad

Selangor rancang loji WTE ketiga susulan kos urus sisa meningkat

18 Sep 2025, 12:02 PM
Selangor rancang loji WTE ketiga susulan kos urus sisa meningkat
Selangor rancang loji WTE ketiga susulan kos urus sisa meningkat
Selangor rancang loji WTE ketiga susulan kos urus sisa meningkat

SHAH ALAM, 18 SEPT: Selangor sedang meneliti cadangan pembangunan loji jana kuasa tenaga daripada sisa (WTE) ketiga, selain projek tenaga hijau baharu yang berkemungkinan dimasukkan dalam Belanjawan Negeri 2026 yang bakal dibentangkan November ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata inisiatif tersebut akan melengkapi dua loji WTE yang kini dalam pembinaan di Jeram dan Rawang, dengan kapasiti gabungan memproses sehingga 5,000 tan sisa sehari.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim bercakap kepada media ketika temu bual di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 22 Januari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Berbanding kontraktor lain, bayaran kontrak pengurusan sisa kita adalah yang paling rendah. Keadaan ini menimbulkan beban besar dalam menampung pelaburan.

“Kami hanya mahu rakyat tahu bahawa kutipan cukai pintu tidak mencukupi. Sememangnya loji WTE memerlukan kos awal tinggi, tetapi ia penting untuk pembangunan mampan, perlindungan alam sekitar serta masa depan rakyat,” katanya kepada Media Selangor baru-baru ini.

Beliau menambah, perbelanjaan pengurusan sisa ketika ini mencecah kira-kira 30 peratus bajet pihak berkuasa tempatan dan boleh meningkat sehingga 60 peratus jika kaedah lama diteruskan, sekali gus mengehadkan keupayaan menyalurkan perkhidmatan berkualiti.

Dengan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) hanya menerima bayaran RM7 hingga RM8 setiap tan berbanding nilai pasaran sekitar RM15, Suee Lim berkata sukar bagi syarikat itu menampung pelaburan seperti penyediaan tong seragam di setiap kediaman.

Kutipan harian KDEBWM melonjak daripada 6,500 tan pada 2016 kepada lebih 10,000 tan tahun ini, dan dijangka mencecah 10,800 tan menjelang 2027.

Suee Lim turut mengesahkan Selangor dalam proses menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bagi menyelaraskan standard negeri dengan peringkat Persekutuan.

Langkah itu dijangka membantu menyelesaikan isu kos pengurusan sisa termasuk projek WTE kerana dana Persekutuan lebih tinggi.

“Sebaik sahaja Akta 672 diterima pakai, penguatkuasaan juga akan lebih kukuh. Sekarang denda masih rendah, tetapi di bawah akta itu, denda boleh mencecah RM100,000, sekali gus memberi kuasa penguatkuasaan lebih tegas,” katanya.

Operasi di lapangan hadapi cabaran

Di peringkat daerah, ketua operasi KDEBWM berkongsi cabaran tersendiri yang membuktikan perlunya reformasi sistemik.

Ketua operasi daerah Klang Mohamad Fauzi Ibrahim berkata kawasan itu berdepan kepadatan penduduk, pertumbuhan industri pesat dan peluasan bandar yang tidak terkawal.

“Klang unik, ia gabungan bandar lama bersejarah, perbandaran moden, zon industri besar dan pelabuhan. Kawasan ini padat, tiada lagi tanah kosong,” katanya.

Walaupun pengambilalihan KDEBWM berjaya memperbaiki keadaan yang sebelum ini dibelenggu masalah sampah tidak terkawal, cabaran tetap wujud.

“Tanggapan masyarakat ialah kami perlu buat lebih dengan sumber terhad. Itulah realiti harian. Bidang pengurusan sisa memerlukan keberanian kerana kita perlu berdepan orang ramai, menjawab soalan mereka dan memastikan kontraktor mematuhi syarat sambil memberi perkhidmatan baik,” katanya.

Beliau turut menyentuh cabaran sampah yang terkumpul sepanjang Sungai Klang. Walaupun bukan tanggungjawab langsung KDEBWM, sisa sering terperangkap di hutan paya bakau ketika air pasang.

Ketua Operasi KDEB Waste Management (KDEBWM) cawangan Shah Alam Mohd Rizal Karim memberi penerangan berkaitan lori Roro kepada pelajar UiTM ketika program Greening The Globe di sini anjuran KDEBWM dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sebuah sekolah di Seksyen 18, Shah Alam pada 5 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Ketua Operasi Shah Alam Mohd Rizal Karim berkata jangkaan masyarakat di ibu negeri amat tinggi kerana kawasan perumahan mewah dan komuniti majmuk menuntut perkhidmatan kelas pertama.

“Mereka mahu bandingkan apa yang dibayar dengan apa yang diperoleh,” katanya sambil menambah kawasan berpagar dan VIP sering mengenakan sekatan waktu kutipan, menambah lapisan cabaran.

Katanya, sisa daripada peniaga kecil di tepi jalan juga menambah beban.“Lesen atau tidak, itu bukan bidang kuasa kami. Tetapi kami tetap sediakan tong dan membersihkan kawasan, jika tidak orang ramai akan mengadu. Kami tidak ada pilihan untuk kata ‘bukan tanggungjawab kami’,” katanya.

Tambahnya lagi, musim perayaan boleh menggandakan penghasilan sisa walaupun perancangan rapi dibuat.

“Semasa Aidilfitri, kutipan boleh mencecah 800 tan sehari. Kami rancang beberapa minggu awal, tetapi jika satu lori rosak, seluruh rantaian boleh terganggu. Penduduk tidak nampak kerja di belakang tabir, mereka hanya sedar bila tong sampah tidak dikosongkan. Jadi kami perlu cepat menyesuaikan diri,” katanya.

Ketua operasi Subang Jaya Mohd Ridhuan Tahir pula menekankan cabaran urbanisasi menegak di daerah seperti itu.

“Walaupun Subang Jaya sebuah bandar terancang, flat dan kondominium mewah ada cabaran tersendiri. Sebuah pangsapuri tinggi boleh hasilkan sisa setara satu kejiranan, dan ia memerlukan kutipan harian. Ia mengubah model operasi kami,” katanya.

Beliau menambah, penglibatan komuniti sangat menonjol di Subang Jaya kerana penduduk amat prihatin menjaga kebersihan.

“Penduduk di sini proaktif. Jika tong penuh, dalam beberapa minit kami akan terima gambar melalui WhatsApp. Ia membuatkan kami lebih berwaspada dan menambah baik perkhidmatan,” katanya.

Subang Jaya juga dipilih sebagai tapak perintis program kitar semula dari rumah ke rumah (SELKitar) yang mula diperkenalkan Mei lalu di 50 kawasan perumahan di Subang Jaya dan Sepang.

Program itu melibatkan kutipan mingguan plastik, kertas, kotak dan tin minuman dari rumah ke rumah, dengan syarat bahan mestilah bersih, kering dan diasingkan mengikut kategori.

Ke arah ekonomi kitaran

Selangor dijangka melaksanakan rangka kerja ekonomi kitaran dalam tempoh dua tahun, bermula di pusat bandar seperti Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam.

Usaha ini selari dengan Pelan Tindakan Ekonomi Kitaran Sisa Pepejal 2025–2035 kerajaan Persekutuan, yang merangkumi lima tonggak utama: tadbir urus dan perundangan, garis panduan dan prosedur, pendigitalan serta teknologi, infrastruktur dan kemudahan, serta pembangunan pasaran.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (tengah) dan Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM Dato' Ramli Mohd Tahir (kanan) melakukan gimik selepas sidang media perluasan program kitar semula di Kabin Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3, Subang Jaya pada 24 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.