SHAH ALAM, 18 SEPT: Pentakrifan buli antara yang menjadi tumpuan dalam Sesi Libat Urus Tribunal Antibuli, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pihaknya menerima pelbagai maklum balas, termasuk penguatkuasaan undang-undang antibuli secara terbuka serta penyelesaian segera selepas tribunal itu diwujudkan.
“Portal (platform pendapat) itu banyak yang bagi pendapat, tetapi setakat ini mereka mahukan kategori bukan sahaja bawah 18 tahun, tetapi terbuka. Rata-rata banyak bagi komen, kalau ada akta perlu ada definisi.
“Yang kedua, kalau ada tribunal, ia perlu cepat selesai. Itu sebab kita akan kaji lagi sekali,” katanya kepada pemberita selepas sesi berkenaan peringkat Selangor, hari ini.
Program dialog siri kedua itu diadakan di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri di sini, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Azalina turut menggalakkan semua pihak memberikan pandangan dalam Platform Pendapat Awam Mengenai Tribunal Antibuli bagi memastikan rang undang-undang tersebut dibentuk dengan baik.
“Portal itu penting. Saya mahu galakkan rakyat untuk masuk portal itu dan bagi pandangan masing-masing. Tidak boleh harapkan jelajah ini sahaja,” katanya.
Sementara itu, Fadhlina berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa perkara termasuk kebimbangan bagaimana untuk takrifkan dan menyelaras definisi buli.
“Antara perkara yang kita lihat ada dalam townhall ini adalah definisi buli dan kebimbangan, maknanya mereka melihat pandangan itu bagaimana untuk takrifkan buli ini dan definisi buli ini diselaras secara bersama,” katanya.
Minggu lalu, kerajaan memulakan siri jerayawara Tribunal Antibuli yang dikendalikan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama beberapa kementerian lain.
Program libat urus yang bermula di Putrajaya itu akan diteruskan di Johor esok, sebelum diperluas ke seluruh negara.
Kerajaan turut melancarkan sebuah laman sesawang rasmi sebagai saluran rujukan untuk orang ramai mengemukakan pandangan dan cadangan berkaitan isu buli.