KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor) terus memperkukuh peranannya dalam menyebar luas maklumat berkualiti dengan menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025.
Bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), ketua Kluster Penjanaan Hasil berkata penglibatan Media Selangor sebagai rakan media MIHAS selari dengan misi dan visi syarikat untuk menjadi agensi media berimpak tinggi.
Jelas Nursuziana Zulkifli acara perdagangan halal terbesar negara itu membuktikan komitmen Media Selangor mahu memperluas kesedaran masyarakat terhadap kepentingan industri halal di peringkat tempatan dan global.

“Media Selangor bukan sekadar membuat liputan, malah kita turut memainkan peranan aktif dalam mempromosikan usahawan halal termasuk peniaga mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara,” katanya.
Tambah beliau, penglibatan ini juga membuktikan kesungguhan Media Selangor untuk melangkaui peranan tradisional media, dengan menumpukan kepada penawaran perkhidmatan menyeluruh seperti media cetak, digital, perkhidmatan dron, konsultasi dan pengiklanan.
Sepanjang empat hari pameran berlangsung, orang ramai berpeluang mengunjungi reruai anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu di Lot 7-P20 Aras 2, Mitec yang menawarkan pelbagai promosi menarik.
Antara tawaran istimewa termasuk pakej pengiklanan serendah RM1,000 untuk usahawan PMKS serta percuma aiskrim kepada pengunjung yang melanggan "newsletter" Media Selangor melalui imbasan kod QR.

Dalam pada itu, Perancang Media Media Selangor, Najwa Mohd Ghazali berkata pihaknya turut menyediakan khidmat perancangan media menyeluruh yang boleh disesuaikan mengikut kehendak pelanggan.
“Kami sedia membantu dari A hingga Z, sama ada merancang kempen pemasaran, menyediakan bahan promosi mahupun pengiklanan digital. Segala keperluan pelanggan akan kami bantu rancang dan realisasikan,” katanya.
MIHAS 2025 acara bertaraf antarabangsa itu menghimpunkan lebih 2,400 gerai pameran dan dijangka menarik kehadiran sekitar 45,000 pelawat dari lebih 80 negara, menjadikannya antara platform perdagangan halal paling berpengaruh di dunia.
Acara itu turut mendapat penyertaan dari pelbagai negara seperti Algeria, Congo, Costa Rica, Ghana, Mali, Norway dan Panama.
China, Bangladesh dan Nepal muncul sebagai negara pembeli terbesar dengan masing-masing menghantar puluhan wakil syarikat.