KOTA KINABALU, 17 SEPT: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa Noraidah Lamat tetap enggan membenarkan proses bedah siasat dijalankan ke atas jenazah anaknya, Zara Qairina Mahathir meskipun kepentingan prosedur itu telah dijelaskan beberapa kali kepada beliau.
Dr Logaraj Ratha, yang menjalani latihan luar kampus di Jabatan Perubatan Forensik (Mortuari) Hospital Queen Elizabeth sejak Jun tahun lepas, berkata penerangan telah diberikan kepada wanita itu sebelum, semasa dan selepas beliau menandatangani Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri.
“Segala butiran dalam surat akuan itu diisi oleh ibu mangsa sendiri, dan saya berada bersamanya ketika itu,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari selaku Pegawai Pengendali inkues berhubung kematian remaja itu.
Mohd Firdaus: Berapa kali kamu memberitahu tentang kepentingan bedah siasat kepada Puan Noraidah Lamat?
Dr Logaraj: Saya menerangkan dua kali sebelum beliau menandatangani surat itu… dan saya juga menerangkan beberapa kali semasa serta selepas beliau menandatangani surat itu… saya masih terus bagi penerangan.
Ketika membacakan pernyataan saksi, Dr Logaraj berkata beliau telah menjelaskan kepada ibu mangsa bahawa walaupun borang POL 61 iaitu permintaan pemeriksaan ke atas jenazah tidak dikeluarkan oleh pihak polis, proses bedah siasat klinikal masih boleh dijalankan tertakluk kepada kebenaran waris terdekat.
“Bagaimanapun, Noraidah membuat keputusan untuk bedah siasat tidak dijalankan ke atas jenazah Zara Qairina walaupun penerangan telah diberikan.
“Ibu mangsa hadir ke hospital bersama kakak iparnya, Nur Shira Abdullah. Penerangan yang saya berikan mengenai keperluan serta kepentingan bedah siasat turut disaksikan oleh Nur Shira.
“Saya turut menerangkan bahawa tanpa bedah siasat, pihak waris tidak akan dapat membuat sebarang tuntutan atau mendapatkan laporan bedah siasat rasmi berhubung punca kematian pada masa hadapan daripada Jabatan Perubatan Forensik hospital,” kata saksi itu sambil menambah Noraidah telah mengisi butiran dan menurunkan tandatangan sebagai penuntut mayat di dalam surat tersebut.
Dr Logaraj berkata Nur Shira juga telah mengisi butiran sendiri di bahagian saksi dan menandatangani surat tersebut sebelum beliau menandatangani surat tersebut sebagai doktor yang mengendalikan kes berkenaan.
Saksi itu berkata Noraidah juga mengesahkan bahawa beliau memahami penjelasan dan kandungan surat yang telah diisi serta ditandatangani.
Beliau berkata selepas mendapat keputusan enggan melakukan bedah siasat daripada Noraidah, dan memandangkan tiada perkara yang dibangkitkan, pihak hospital telah menyerahkan jenazah Zara Qairina kepada ibunya mengikut dasar hospital serta jabatan.
Terdahulu, beliau memaklumkan mahkamah bahawa pegawai penyiasat kes Inspektor Wong Yew Zhung tidak mengeluarkan borang POL 61 dan jenazah remaja itu diminta diserahkan kepada ibunya.
Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan turut mendengar keterangan Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha iaitu Azhari Abd Sagap, 31.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lepas.
Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis manakala sebelum itu pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.