“Melayu ialah mereka yang tidak akan berjalan kaki selagi perahu mereka boleh sampai. Tidak akan berumah di atas tanah kering selagi ada tanah berpaya.”
Ungkapan lama ini bukan sekadar kata-kata, tetapi cerminan falsafah hidup orang Melayu sejak berzaman. Dari sungai yang tenang hingga lautan ganas, perahu menjadi nadi pergerakan, lambang keberanian dan simbol kebebasan bangsa ini.
Memahami sejarah Melayu tanpa mengetahui perahu ibarat melihat sungai tanpa arusnya. Nampak tenang di permukaan tetapi penuh makna di dasarnya.
Dalam sejarah Melayu, perahu bukan sekadar alat untuk belayar. Ia ibarat rumah bergerak, pentas perdagangan dan ruang diplomasi.
Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Perak Dr Ahmad Jelani Halimi pernah mengungkapkan betapa eratnya hubungan orang Melayu suatu ketika dahulu dengan perahu.

“Macam mana kebanyakan rumah orang Melayu zaman sekarang ada kapcai di bawah rumah, begitulah dahulu ada perahu di bawah rumah.
“Ada perahu sebab rumah di atas tanah berpaya, tepi kuala, muara dan tasik. Alam adalah kehidupan mereka,” katanya dalam program Bicara Perahu Melayu Tradisional Dalam Kenangan.
Beliau menegaskan, perahu adalah sahabat perjalanan sekali gus menjadi nadi kehidupan. Sungai, paya dan muara pula bukan sahaja laluan air tetapi sumber rezeki dan pintu dagang.
Dari situ lahirnya, hubungan mesra antara manusia, perahu dan alam yang menyatukan kehidupan mereka dengan denyut maritim Nusantara.
Pengangkutan awal
Sebelum wujudnya jalan raya, laluan air adalah ‘lebuh raya’ utama. Perahu pula menjadi jantung pengangkutan, bermula dari kolek dan sampan sehinggalah jong dan ghali yang megah di lautan.
Perjalanan inovasi ini panjang. Dari rakit buluh sekitar 2,500 Sebelum Masihi (SM) dan batang pisang (3,000 SM) pada era Austronesia, orang Melayu terus bereksperimen dengan bahan dan reka bentuk.
Mereka mencipta perahu kulit pokok meranti yang dijahit dengan rotan, kemudian perahu lesung dipahat dari batang pokok besar.
Menjelang tahun 500 hingga 700 Masihi, muncul pula perahu papan dipasang dengan pasak kayu dan rotan tanpa sebatang pun paku besi.
Kemuncak awal tamadun maritim Melayu tiba pada abad ketujuh dengan kemunculan jong, prau besar dan kapal dagang yang membawa pelaut hingga ke India, Arab dan China.
Setiap jenis perahu membawa identiti masyarakatnya. Misalnya, Perahu Pinas Terengganu, memiliki dua tiang layar, haluan dan buritan melengkung. Terdapat juga ukiran halus dan hiasan kepala naga atau bunga tanjung.
Di bahagian perut perahu besar pula, terdapat petak-petak sewa untuk penumpang atau muatan. Ia diurus nakhoda seperti tercatat dalam Undang-Undang Laut Melaka.
Pelaut handal
Bangsa Melayu pernah digelar pelaut ulung. Hikayat Merong Mahawangsa walaupun sering dianggap mitos tetap menjadi lambang keberanian dan kebijaksanaan.
“Malim pertama yang kita tahu adalah Merong Mahawangsa. Orang Rom pun cari dia untuk tunjukkan laluan selamat.
“Malim bukan saja tahu angin dan arus, tetapi juga boleh jadi imam, membaca doa untuk keselamatan,” kata Dr Ahmad Jelani.
Kebijaksanaan ini diteruskan armada Kesultanan Melaka yang mengawal Selat Melaka berabad lamanya, menjadikan negeri itu sebagai pusat perdagangan dunia.
Sehebat perahu, begitu jugalah sistem yang menguruskannya. Undang-Undang Laut Melaka (1488-1510) antara kod maritim tertua di Asia Tenggara.
Ditauliahkan pada zaman Sultan Mahmud Syah dan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, ia mengatur keselamatan, disiplin, pembahagian hasil dan undang-undang jenayah di laut.
Hal ini membuktikan bangsa ini bukan sahaja mahir membina perahu tetapi juga bijak menggubal undang-undang untuk mengurus kehidupan di laut secara adil dan teratur.
Undang-undang ini lazimnya disusun oleh nakhoda sebelum dibawa untuk diperkenankan sultan. Ia turut menyentuh peranan nakhoda, juragan, malim, awak kapal, pembahagian hasil, jenayah di laut dan peraturan pelayaran.
Kini, perahu bukan lagi nadi pengangkutan harian. Namun ia tetap hidup dalam lagu rakyat, pantun, puisi dan seni ukir. Perahu wajar kita kenang sebagai simbol penyatuan.
Dari perahu kecil yang menghubungkan kampung, hingga kapal besar yang membuka laluan dunia, semuanya membentuk naratif bangsa yang berani mengembara dan tidak gentar menuju masa depan.
Berikut jenis kapal yang popular dalam kalangan orang Melayu satu ketika dahulu:








