ad

Rosmah gagal rayuan singkir hakim dengar perbicaraan kes solar

17 Sep 2025, 3:43 AM
Rosmah gagal rayuan singkir hakim dengar perbicaraan kes solar

PUTRAJAYA, 17 SEPT: Datin Seri Rosmah Mansor hari ini gagal dalam rayuannya agar Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada terus mendengar dan membuat keputusan dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak yang dihadapi beliau.

Keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara oleh panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas mendapati permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu tidak mempunyai merit.

"Kes solar melibatkan perayu telah didengar oleh hakim bicara iaitu Datuk Mohamed Zaini Mazlan lebih dua tahun dan sepanjang tempoh tersebut, perayu tidak pernah membuat permohonan agar hakim itu menarik diri.

"Perayu sepanjang tempoh itu menerima bahawa hakim tersebut adalah adil dan saksama. Oleh itu, kami dapati permohonannya adalah tidak bermerit dan beliau gagal menunjukkan real danger of bias," katanya.

Turut bersidang Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Ahmad Zaidi berkata setelah meneliti hujahan serta keterangan yang dinyatakan, mahkamah mengambil maklum bahawa terdapat dua alasan penghakiman bagi kes ini iaitu setebal 71 muka surat yang dikatakan disediakan oleh pihak ketiga dan satu lagi setebal 116 muka surat yang disediakan oleh hakim perbicaraan.

"Setelah meneliti kedua-dua alasan kehakiman, jelas pada hemat kami terdapat kelainan yang ketara dalam kedua-dua dokumen tersebut. 

"Ini menunjukkan apa yang dinyatakan oleh hakim bicara bahawa beliau menyediakan alasan penghakiman sendiri tanpa menggunakan alasan penghakiman oleh pihak ketiga adalah konsisten seperti dinyatakan," katanya.

Rosmah memfailkan permohonan supaya Mohamed Zaini menarik diri pada saat akhir iaitu sebelum beliau menyampaikan keputusan pada 1 Sept 2022. 

Permohonan itu dibuat berdasarkan dakwaan bahawa draf penghakiman dalam kes itu telah bocor dan disediakan oleh pihak ketiga sebelum dibacakan secara rasmi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.