HULU LANGAT, 17 SEPT: Trauma banjir sejak puluhan tahun menyebabkan penduduk di Kampung Batu 16, Dusun Tua hidup dalam kebimbangan setiap kali hujan lebat, sekali gus berharap Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat dapat dipercepatkan bagi mengurangkan risiko bencana itu.
Ketua kampung Md Gadapi Ahmad Harmain berkata, RTB yang telah diluluskan perlu disegerakan supaya penduduk tidak lagi terperangkap dalam situasi genting setiap kali hujan.
"Sebenarnya bukan saya saja, penduduk kampung juga berharap perkara sama sebab banjir ini dah berlaku berpuluh tahun. Ia tak sejajar dengan pembangunan. Jadi saya mengharapkan sangat RTB ini dapat mengurangkan masalah banjir di Kampung Batu 16," katanya kepada Media Selangor ketika tinjauan banjir di kawasan itu semalam.

Sementara itu penduduk, TH Tan, 57, yang menetap lebih 30 tahun di kampung berkenaan berkata, walaupun kedudukan kampung yang rendah di tepi sungai menjadikan banjir sukar dielakkan, namun usaha kerajaan melalui RTB memberi harapan kepada mereka.
"Memang tak boleh elak sebab kawasan ini rendah dan tepi sungai, tapi paling penting kerajaan ada buat kerja. Itu yang kami harapkan. Kami yakin RTB yang diluluskan mampu mengurangkan risiko walaupun tidak dapat selesai sepenuhnya," ujarnya yang juga pemilik bengkel motorsikal.

Bagi Siti Aishah Litar, 50, kerja mendalam dan melebarkan Sungai Langat perlu dipercepatkan selepas mereka puluhan tahun menanggung kebimbangan sama.
"Setiap kali hujan lebat, kami tak dapat tidur nyenyak kerana takut air naik. Kalau kerja tebatan dan mendalamkan sungai ini dapat dilaksanakan segera, sekurang-kurangnya mengurangkan keresahan kami," kata ibu kepada tiga cahayamata ini.

Projek RTB Sungai Langat Fasa 2 bernilai RM512 juta di bawah Kerajaan Persekutuan kini dalam peringkat laporan kajian teknikal bersama perunding, melibatkan kerja jangka panjang di sepanjang laluan sungai bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan termasuk Dusun Tua.
Sebagai langkah segera, Kerajaan Selangor turut meluluskan RM10 juta masing-masing untuk Batu 10 dan Batu 16 bagi kerja mendalam dan melebarkan sungai di kawasan tumpuan, yang dijangka bermula dalam tempoh dua bulan lagi.
