BUTTERWORTH, 16 SEPT: Suasana penuh warna-warni, harmoni dan semangat kebangsaan menyelubungi Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini malam ini apabila ribuan rakyat pelbagai kaum berkumpul meraikan kemuncak sambutan Hari Malaysia 2025.
Malam gilang-gemilang dan penuh bermakna itu turut mencatat detik bersejarah buat Pulau Pinang apabila julung kali diberi penghormatan menjadi tuan rumah acara yang menyatukan seluruh rakyat dengan mengangkat tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”.
Barisan Jemaah Menteri Persekutuan, Sabah dan Sarawak serta pimpinan kerajaan negeri dan pusat bersama ribuan pengunjung mula memenuhi dewan sejak 6.30 petang tadi.
Sambutan bermula 7 malam dengan prapersembahan oleh Kumpulan Kesenian Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Pulau Pinang, Orkestra Tradisional Malaysia serta persembahan ‘comel’ oleh murid Tabika Perpaduan.
Seterusnya, pada 8 malam ketibaan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Ia disusuli dengan ketibaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, kemudian diikuti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru pulang ke tanah air pagi ini selepas menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar, bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib bersama isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah yang menjadi tetamu kehormat malam ini bagi memeriahkan sambutan tiba pada 8.30 malam.
Seluruh dewan bertukar hening ketika lagu “Negaraku” bergema, diikuti lagu negeri Pulau Pinang, “Negeri Kita” sebelum acara diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara yang dipimpin penerima Anugerah Puskas FIFA 2016 Mohd Faiz Subri bersama 61 peserta berbusana tradisional pelbagai kaum.
Pentas kemudian diserikan dengan segmen persembahan “Rentak Tradisi Pulau Mutiara” selama lima minit yang menggabungkan tiga seni tradisi ikonik negeri iaitu “Joget Joghee”, “Opera Cina Pulau Pinang” dan “Boria Pulau Pinang”.
Gabungan seni tari, muzik dan lakonan itu dijayakan oleh Kumpulan Kesenian JKKN, Kumpulan Kesenian Adikarma dari Universiti Sains Malaysia (USM), kumpulan tarian India Guru Shri Arul Manikan, Persatuan Opera Teo Chew Pulau Pinang dan kumpulan Boria Budayasari.
Mengangkat semangat kepelbagaian, karya baharu itu bukan sahaja menzahirkan keunikan warisan budaya negeri malah menjadi simbol kekayaan identiti Malaysia yang harmoni.
- BERNAMA