ad

Malaysia, 15 negara lain suarakan kebimbangan keselamatan Flotila Sumud Global ke Gaza

16 Sep 2025, 2:51 PM
Malaysia, 15 negara lain suarakan kebimbangan keselamatan Flotila Sumud Global ke Gaza
Malaysia, 15 negara lain suarakan kebimbangan keselamatan Flotila Sumud Global ke Gaza
Malaysia, 15 negara lain suarakan kebimbangan keselamatan Flotila Sumud Global ke Gaza
Malaysia, 15 negara lain suarakan kebimbangan keselamatan Flotila Sumud Global ke Gaza

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Malaysia dan 15 negara menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan Flotila Sumud Global, sebuah inisiatif masyarakat sivil yang membawa bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, menteri-menteri luar negara terbabit menegaskan sokongan mereka terhadap misi kemanusiaan itu yang turut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keperluan mendesak rakyat Palestin serta menggesa penghentian perang di Gaza.

“Objektif keamanan, penyampaian bantuan kemanusiaan, dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa adalah dikongsi oleh kerajaan kami,” menurut kenyataan itu.

Menteri menggesa semua pihak supaya tidak melakukan sebarang tindakan menyalahi undang-undang atau keganasan terhadap flotila berkenaan dan menekankan kepentingan mematuhi undang-undang antarabangsa serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Mereka turut memberi amaran bahawa sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia peserta flotila, termasuk serangan ke atas kapal di perairan antarabangsa atau penahanan secara tidak sah, pelakunya perlu dipertanggungjawabkan.

Menteri-menteri luar yang menandatangani kenyataan itu adalah dari Bangladesh, Brazil, Colombia, Indonesia, Ireland, Libya, Malaysia, Maldives, Mexico, Pakistan, Qatar, Oman, Slovenia, Afrika Selatan, Sepanyol dan Turkiye.

Flotila Sumud Global yang disertai warganegara daripada negara berkenaan telah belayar dengan matlamat menyalurkan bantuan ke Gaza serta memperkukuh desakan bagi keamanan di wilayah yang dilanda konflik itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Jabatan Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama (DIRCO) Afrika Selatan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.